Bukan atlet, artis sahaja, pelajar pun mahu dihargai

Bukan atlet, artis sahaja, pelajar pun mahu dihargai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADAKAH benar jurusan yang diambil di universiti itu semestinya menggambarkan kecerdikan dan taraf keupayaan akademik seseorang? Apa perasaan anda jika terus dianggap tidak mampu untuk mempelajari sesuatu mata pelajaran yang lebih sukar hanya kerana memilih mengambil jurusan dianggap bukan untuk pelajar pintar? Persoalannya, sampai bila kita mahu berterusan mengekalkan stigma sosial sebegini serta tidak mahu berganjak daripada paradigma pemikiran yang sempit dan tidak berasas ini?

Perbuatan merendah-rendahkan keupayaan akademik pelajar daripada jurusan tertentu sudah menjadi lumrah dalam kehidupan masyarakat kita. Sesetengah golongan berpendapat, pelajar bijak mesti memilih jurusan yang dianggap berprestij seperti sains aeroangkasa ataupun perubatan, bukannya jurusan dirasakan mereka rendah tarafnya seperti sains sosial. Maka ramai ibu bapa memaksa anak masing-masing menyambung pelajaran dalam bidang-bidang tertentu walaupun bertentangan dengan kebolehan dan minat mereka.

Akhirnya, pelajar cerdik akan dikumpulkan dalam jurusan-jurusan terpilih sahaja. Sedangkan kita memerlukan pakar dan cendekiawan dalam bidang lain walaupun dipandang rendah tetapi amat integral dalam pembinaan negara bangsa. Akibatnya, kita berhadapan masalah identiti bangsa serta jati diri dalam kalangan generasi muda. Jika keadaan ini tidak diperbetulkan, ketamadunan bangsa akan terhakis dan akhirnya musnah.

Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati. Manusia tidak dilahirkan dengan minat dan kemampuan yang sama. Setiap daripada kita mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri. Malah, kami adik-beradik, saya dan kakak-kakak pun mempunyai kebolehan dan kecenderungan dalam bidang-bidang berbeza.

Bidang yang mudah kepada seseorang pelajar, tidak semestinya mudah kepada mereka yang lain. Contohnya, ada berpendapat, paling mudah dipelajari ialah jurusan yang hanya memerlukan kita menghafal teks, walhal ia sukar bagi saya. Bagi saya, bidang yang memerlukan penaakulan adalah lebih mudah, namun dikatakan susah oleh sesetengah pelajar. Maka, amatlah tidak adil dan tidak munasabah jika kita mengambil pendekatan bahawa jika bidang itu mudah dan baik bagi kita maka ia semestinya mudah dan baik kepada semua orang.

Hari ini ramai resah tentang sikap anak muda yang dikatakan semakin hari semakin tidak berminat untuk menyambung pelajaran di peringkat tinggi. Maka, ahli akademik mula membuat kajian manakala ahli politik berlumba-lumba mengemukakan hipotesis tentang punca kepada permasalahan ini serta cadangan untuk menyelesaikannya. Pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bakal berlangsung, oleh itu para pemimpin politik perlu lebih lantang bersuara supaya berpeluang menjadi calon dan mendapat sokongan rakyat.

HARU-BIRU

Sebenarnya isu paling penting kepada anak muda adalah agar pendapat kami dihormati. Jika kami dikatakan sudah matang untuk memilih pemimpin negara, maka pilihan kami dalam bidang pelajaran juga harus dihormati. Para pelajar yang memilih untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT) benar-benar mengharapkan agar tidak ‘dihukum’ kerana pilihan kami untuk menyambung pelajaran.

Setiap individu berhak diberi peluang untuk belajar sesuatu yang sesuai dengan kebolehan dan minat mereka tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak. Belajar ialah proses menyeronokkan jika kita berada dalam lingkungan yang bersesuaian serta persekitaran kondusif walaupun ada ketikanya kami terpaksa bersengkang mata untuk menyelesaikan tugasan diberikan. Justeru, amatlah penting bagi para pelajar untuk memilih jurusan dan IPT paling sesuai.

Bagi saya, tempoh masa pengajian sama ada dipendekkan kepada tiga tahun atau kekal empat tahun seperti hari ini bukanlah satu isu besar. Saya suka mengambil peluang yang ada untuk belajar subjek-subjek elektif di luar fakulti. Kerana minat, saya tidak merasakan apa yang saya lakukan ini satu bebanan. Berlainan pula jika dipaksa mempelajari subjek yang asing dan sukar bagi saya sebagai subjek elektif. Haru-biru jadinya jika subjek elektif lebih membebankan daripada subjek jurusan utama.

Saya juga memohon pihak kerajaan agar lebih menghargai pelajar cemerlang seperti mana ahli sukan cemerlang dihargai. Misalnya, setiap tahun terdapat beberapa pertandingan besar peringkat dunia bagi pelajar undang-undang. Maka, universiti memerlukan perbelanjaan besar untuk menghantar pelajar ke luar negara jika mereka memenangi beberapa pertandingan peringkat kebangsaan. Malah, adakala negara ini tidak diwakili kerana pemenang peringkat kebangsaan gagal mencari dana untuk bertanding di luar negara.

Jika negara serius mahu menghasilkan graduan bertaraf dunia maka para pelajar cemerlang harus mendapat pendedahan di peringkat dunia. Pelaburan sebegini akan memberikan pulangan besar kepada negara kerana pendedahan kepada suasana pertandingan dan peluang berinteraksi dan bertukar-tukar pendapat dengan para pelajar terbaik dunia adalah amat penting. Bukan semua ilmu boleh didapati di dalam bilik kuliah. Oleh itu, mahasiswa perlu juga keluar untuk belajar sesuatu yang baharu.

Semoga perhatian kerajaan tidak hanya tertumpu untuk menarik pelajar ke IPT tetapi hargailah mereka yang telah berjaya mengharumkan nama negara. Jika artis dan ahli sukan diberi perhatian, biarlah kami pelajar turut mendapat perhatian serupa demi memperkasakan golongan mahasiswa. Peluang menyertai pertandingan dan forum peringkat antarabangsa akan menolong kita belajar banyak perkara baharu.

Peluang kakak sulung saya, Aiman Amani mewakili Malaysia di pertandingan undang-undang peringkat antarabangsa di Maastrich, Belanda pada April lalu dan pengalaman saya dijemput menyertai Forum Internet Stockholm menjadi pembakar semangat dan memberi pengalaman tidak ternilai harganya. – UTUSAN

PENULIS ialah pelajar ijazah sarjana muda sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×