KUALA LUMPUR: Pegawai polis wanita yang mencemuh dan menghina anggota polis pangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada Khamis lalu sekali lagi mencetuskan kekecohan.
Ia susulan satu video tular memaparkan wanita berkenaan merakam pemandu wanita di parkir pusat beli-belah di Brickfields, semalam.
Video berdurasi seminit 30 saat itu tular di media sosial dan pada masa sama pegawai wanita itu dikecam netizen ia susulan tiada tindakan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini.
Utusan Malaysia difahamkan, laporan polis dibuat oleh seorang wanita berhubung kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang.
Ketika itu, wanita itu dikatakan bersama ibu dan neneknya yang berada di dalam kereta.
Bagaimanapun, secara tiba-tiba datang sebuah kenderaan jenis Bezza yang dipandu pegawai polis berkenaan ingin masuk ke parkir kosong sebelum membunyikan hon yang panjang serta memarahi wanita terbabit.
Pegawai polis wanita itu juga dikatakan mengeluarkan kata-kata rasis dan memperlekehkan pakaian pengadu.
Setakat ini, masih tiada kenyataan rasmi oleh PDRM berhubung kejadian terbaharu itu. – UTUSAN











