KUBANG PASU: Kerajaan memperuntukkan RM8.9 juta untuk institusi pendidikan Islam di Kedah meningkatkan lagi tahap pendidikan selain menaik taraf kemudahan sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RM6.4 juta daripada jumlah tersebut untuk membaik pulih dan menaik taraf kemudahan termasuk sekolah Program Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Katanya, RM604,180 diperuntukkan kepada 36 institusi pendidikan Islam untuk tujuan kursus dan latihan guru serta bantuan pendidikan seperti meja, kerusi, almari, projektor, papan putih, kabinet buku dan sebagainya.
“Kerajaan turut akan menyumbang sejumlah RM1.985 juta kepada 28 pondok, tahfiz, maahad dan sekolah agama yang berdaftar di Kedah dalam usaha kita menyuburkan lagi pendidikan berteraskan Islam di negeri ini,” katanya ketika berucap sempena Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang di sini, semalam.
Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju meluluskan sumbangan berjumlah RM2.94 juta kepada 588 masjid kariah di 12 daerah seluruh negeri ini yang berdaftar di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK).
Menurutnya, sumbangan itu bagi tujuan pengimarahan masjid sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dengan setiap masjid akan menerima sumbangan RM5,000.
“Orang Kedah kata termasuk orang Cheruk Tokkun, kena ‘pekin’ (berjimat), bila kita pekin, tak boros kita boleh belanja untuk yang kebaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengumumkan peruntukkan RM1.2 juta kepada Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah Melele bagi tujuan membaik pulih sekolah itu.
Dalam satu majlis berasingan di Merbok, Anwar berkata, pihak pembangkang sehingga kini enggan mengadakan rundingan bersama kerajaan bagi meneruskan projek-projek berkepentingan rakyat di kawasan mereka.
Anwar berkata, beliau sudah meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempelawa dan berbincang dengan ahli Parlimen pembangkang mengenai perkara itu, namun tiada sebarang perjumpaan setakat ini.
“Ini soal yang dibangkitkan tentang projek-projek di kawasan pembangkang. Bila saya jadi Perdana Menteri, saya jawab melalui perundingan kita akan segera meluluskan projek daripada pembangkang sama dengan ahli Parlimen yang lain.
“Tetapi sampai sekarang pihak pembangkang enggan mengadakan perundingan. Cuma dia menyelar, terus kecam kata kita tidak bagi kelulusan sebagai zalim dan yang dulu kamu tak bagi, tak zalimkah,” soalnya. – UTUSAN










