SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan mengambil 65,000 pelajar baharu bagi sesi pengajian 2023/2024 sekali gus menjadikannya terbesar dalam sejarah pengambilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor berkata, pengambilan pelajar baharu itu meningkat 63 peratus dengan mengekalkan matlamat penubuhannya memastikan keutamaan rakyat daripada kumpulan B40 diberi tempat.
Katanya, sebelum ini universiti itu mengunjurkan pengambilan sekitar 30,000 hingga 40,000 pelajar dan menerima kemasukan kira-kira 25,000 pelajar setiap semester untuk ditempatkan di 34 kampus cawangan di seluruh negara.
“Unjuran baharu tersebut disasar menerusi kelayakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 apabila seramai 180,000 pelajar dikenal pasti layak memohon ke universiti ini berdasarkan merit dan keputusan peperiksaan tersebut,” katanya.
Menurut Roziah, pihaknya juga mengenal pasti 10 bidang akan menerima permintaan tinggi iaitu perakaunan, kejuruteraan, perniagaan, seni bina dan landskap, media dan komunikasi, sains komputer, hotel dan pelancongan, seni kreatif, kejuruteraan petroleum serta pendidikan.
Roziah menambah, unjuran tinggi itu dibuat berdasarkan jumlah mahasiswa yang keluar menjadi alumni dalam siri sidang konvokesyen akan datang sehingga 35,000 orang.
“Istiadat Konvokesyen Ke-96 UiTM baru-baru ini seramai 24,000 mahasiswa menerima ijazah dan diploma masing-masing, kemudian pada istiadat ke-97 pada bulan Ogos nanti, seramai 34,000 lagi, iaitu paling ramai bergraduasi.
“UiTM akan menghabiskan hingga istiadat ke-100 dalam masa terdekat bagi menyelesaikan masalah konvokesyen tertangguh sebelum ini akibat pandemik Covid-19. Jadi, setiap tahun kita akan ada tiga kali istiadat dan pada 2023 ia diadakan pada Jun, Ogos dan November,” katanya.
Dalam pada itu, menurut beliau, universiti tersebut akan berdepan cabaran bagi memastikan fasiliti dan kelengkapan pembelajaran dan penginapan mahasiswa dapat menampung kemasukan baharu pelajar.
Katanya, ketika ini pihak universiti tiada masalah menguruskan bilik kuliah, namun cabarannya adalah kemudahan penginapan yang ketika ini mampu menampung 120,000 orang sedangkan pertambahan baharu pelajar melebihi had tersebut.
“Sekarang pengurusan universiti sedang bergerak menyelesaikan masalah kekurangan penginapan mahasiswa seperti bekerjasama dengan pemilik-pemilik yang hendak menyewakan kediaman mereka serta syarikat-syarikat swasta yang mahu mengambil peluang sama.
“Cuma cabaran yang kita jangkakan pada kemasukan baharu bermula Oktober ini yang akan menerima lonjakan kemasukan mahasiswa yang mana ada tambahan lebih 20,000 penuntut baharu,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, UiTM juga sedang melaksanakan inisiatif pendanaan sendiri bagi memastikan kemampuan IPTA terbesar itu menjaga kebajikan mahasiswa termasuk menggalakkan penajaan daripada syarikat swasta serta alumni melalui tabung amanah, wakaf dan zakat. – UTUSAN










