Semua calon BN guna logo dacing

Semua calon BN guna logo dacing

Barisan Nasional dan PH memilih untuk menggunakan bendera parti masing-masing pada PRN di enam negeri yang dijangka Julai atau Ogos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Calon Barisan Na­sional (BN) akan menggunakan lambang dacing pada Pi­lihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan menggunakan logo BN itu diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dan terpakai di enam negeri yang mengadakan PRN.

“Calon BN-UMNO di Pulau Pinang akan guna logo sendiri ketika PRN, itu keputusan MKT dan ia juga akan digunakan di negeri-negeri yang adakan PRN.

‘’Calon PH di Pulau Pinang akan guna logo mereka sendiri, ini bagi mengelakkan para pe­ngundi keliru nanti,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau ditanya sama ada calon yang mewakili BN akan menggunakan logo parti itu ketika bertanding dalam PRN Pulau Pinang nanti.

Perang PRN di enam negeri bermula dengan pengumuman tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Negeri Sembilan kelmarin.

Sementara itu, menurut Mu­sa, soal pembahagian kerusi an­tara BN dan PH di Pulau Pinang dijangka selesai minggu depan.

“Masih ada beberapa perkara perlu diselesaikan di peringkat negeri antara BN dan PH, ini kerana ada beberapa kerusi yang berlaku pertindihan.

“Ada kerusi yang kita minta, rakan PH kita juga minta kerusi itu, jadi perkara ini yang perlu perbincangan mendalam.

“Apa yang boleh dikatakan kita masih bincang dan BN akan tanding lebih daripada dua kerusi di Pulau Pinang,’’ katanya.

Sementara itu, PRN di Sela­ngor bakal memperlihatkan tiga logo gabungan terbesar parti-parti iaitu Perikatan Nasional (PN), BN dan PH merebut 56 kerusi DUN.

Dianggarkan 3.7 juta pengundi Selangor berpeluang memilih gabungan yang akan membentuk kerajaan negeri sama ada BN-PH atau PN.

Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, Pas dan Bersatu hampir memuktamadkan pembahagian kerusi di negeri ini apabila masing-masing dijangka bertanding 18 dan 19 kerusi.

“Pembahagian kerusi sudah hampir muktamad dan pimpinan PN di peringkat pusat di­jangka mengumumkan perkara tersebut tidak lama lagi. Boleh dikatakan lebih 90 peratus selesai. PN akan bertanding di ke­semua 56 kerusi DUN Selangor.

“PN juga akan bertanding menggunakan logo PN di semua kawasan, sama ada Pas, Bersatu atau Gerakan, kita akan gunakan logo PN,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×