PETALING JAYA: Malaysia belum bersedia melaksana pengasingan subsidi kerana ketiadaan pangkalan data yang komprehensif dan dinamik meliputi pendapatan serta perbelanjaan sekurang-kurangnya setiap bulan bagi semua individu di negara ini
Ketika ini, kerajaan masih tidak mempunyai data atau kebanyakan data tidak terkini dan ‘bersepah’ antara agensi kerajaan sekali gus menyukarkan pelaksanaan inisiatif subsidi bersasar itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr. Madeline Berma berkata, subsidi bersasar itu adalah satu inisiatif yang dapat membantu terus golongan yang kurang berkemampuan.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaannya itu tetap menjadi persoalan terutamanya untuk mengenal pasti mereka yang memerlukan tanpa ada yang tercicir.
“Bunyi mensasar itu sedap, tetapi laksananya sangat susah. Ia memerlukan maklumat dan data lengkap mengenai setiap individu di negara kita sebelum boleh dilakukan.
“Sekarang ini kita tidak ada data berkaitan individu. Misalnya orang di luar bandar, bagaimana mahu tahu mereka layak atau tidak? Bagaimana pula dengan gaji yang lebih paras kemiskinan, tetapi masih terkial-kial dengan kehidupan harian?
“Sedangkan negara maju yang laksanakan subsidi bersasar ada statistik dan pangkalan data yang menyeluruh, jadi perlu membangunkan pangkalan data yang memang bagus, tepat serta terkini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini media melaporkan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekurang-kurangnya 40 peratus daripada peruntukan subsidi kerajaan sampai kepada golongan kaya, maka perkara itu tidak munasabah untuk diteruskan sebagaimana subsidi tarif elektrik dan kos pelaksanaan haji.
Justeru, Perdana Menteri berkata, langkah penjimatan melalui tindakan merasionalisasi subsidi perlu dilaksanakan iaitu sebahagian daripada kerangka Naratif Ekonomi Madani yang akan dilancarkan kerajaan pada Ogos ini.
Ia sebagai memberi satu panduan jelas bagi hala tuju dan tindakan pelaksanaan kementerian jabatan berkaitan.
Bagaimanapun, katanya, dalam sebarang langkah menetapkan mekanisme subsidi bersasar itu, kerajaan tidak sekali-kali berganjak dengan pendirian untuk mengurangkan subsidi bagi rakyat bawahan.
Sebagai rekod, peruntukan subsidi kepenggunaan pada tahun lepas adalah tertinggi dalam sejarah apabila merekodkan jumlah mencecah hampir RM80 bilion.
Mengulas lanjut, Madeline berkata, penguatkuasaan subsidi bersasar itu juga akan menjadi persoalan penting sekiranya ia berjaya dilaksanakan.
Katanya, ini kerana timbul persoalan bagaimana kerajaan mahu memastikan hanya golongan yang dikesan itu yang menikmati inisiatif tersebut tanpa sebarang ketirisan.
“Misalnya, bagaimana mahu tahu mereka (yang tidak layak) tidak menggunakan minyak petrol RON95?,” soalnya.
Senada dengan beliau, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berpendapat, pengasingan subsidi memerlukan usaha dan komitmen yang tinggi daripada kerajaan untuk dilaksanakan.
Menurut beliau, ini kerana maklumat ketika ini masih diproses secara makro atau menyeluruh dan tidak dikumpulkan secara individu.
Sedangkan, katanya, subsidi bersasar memerlukan pangkalan data atau analisis yang komprehensif supaya subsidi tersebut dapat disalurkan kepada kumpulan sasaran.
“Kita ada jabatan statistik, tetapi kalau masih tidak mampu, maka tubuh satu lagi jabatan pangkalan data untuk kumpul data daripada setiap individu.
“Ini boleh dilakukan dengan mudah dalam era Revolusi Industri Keempat (IR4.0) yang mana ada big data. Apabila ada data setiap pengguna, kita tidak akan tersilap atau tertinggal orang,” jelasnya.
“Mungkin akan ada yang mempertikaikan pengumpulan itu melanggar hak peribadi, tetapi hari ini semua terdedah kepada telefon pintar, jadi pencerobohan data tidak boleh dielak,” katanya.
Barjoyai menambah, dianggarkan hanya enam bulan diperlukan untuk melaksanakan pengasingan subsidi sekiranya kerajaan sudah mempunyai pangkalan data asas.
Malah, katanya, data-data berkenaan juga boleh dikumpul secara berterusan yang boleh dibuat setiap dua atau lima tahun.
“Tetapi, kita kena ada rancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang. Perancangan jangka pendek adalah untuk mengelakkan pembaziran subsidi sama ada disalah guna kumpulan yang tidak memerlukan atau pendatang asing serta diseludup keluar ke negara jiran.
“Dalam jangka pendek juga, kita tidak boleh hentikan semua subsidi kerana harga barang akan melonjak naik. Jadi tak boleh lakukan tergesa-gesa, supaya ia tidak jejaskan kos pengangkutan dan kos pengeluaran peniaga sehingga menyebabkan harga meningkat mendadak. Jadi, dalam jangka pendek ini, perlu berhati-hati,” ujarnya.
Selain pengumpulan data bagi usaha jangka pertengahan, Barjoyai berkata, semua bentuk subsidi perlu dihapuskan dalam tempoh jangka masa panjang dan digantikan dengan sistem perlindungan sosial.
“Dengan sistem ini, akan ada kaedah untuk melindungi semua isi rumah, dari kehilangan pendapatan, malapetaka, kemalangan, kesihatan dan pelajaran. Oleh itu, kalau boleh lindungi semua ini, kita akan lebih sejahtera sebab mereka yang memerlukan bantuan dapat bantuan walaupun tidak ada subsidi,” jelasnya. – UTUSAN










