PADA zaman dahulu, orang Cina dari wilayah China yang berlainan etnik bertutur mengikut loghat yang dipraktikkan di daerah masing-masing. Setiap hari, mereka berkomunikasi dengan penduduk sekampung atau sedaerah menggunakan dialek puak sendiri.
Bagi mengatasi masalah komunikasi antara orang Cina dari wilayah berbeza-beza, maka idea satu bahasa perantaraan dinamakan putonghua (dialek/bahasa umum) dicetuskan oleh para cendekiawan pada masa itu. Pada umumnya, putonghua bermaksud bahasa yang dipertuturkan oleh orang umum (common people).
Hal ini penting supaya pertuturan seseorang dari sesebuah wilayah dapat difahami oleh orang dari wilayah lain dalam komunikasi. Putonghua sesungguhnya telah melalui satu proses evolusi yang menarik di China.
Berita berkaitan:
Populariti sesuatu bahasa itu berkait rapat dengan faktor politik. Menjelang Zaman Tiga Negara (220-280M) di China, Sun Quan membina negara Wu (229-252M). Kerajaannya menetapkan Nanjing sebagai ibu negara, maka dialek Nanjing mula muncul sebagai bahasa umum. Dinasti seterusnya, iaitu Dinasti Tang (618-907M) dan Dinasti Song (960-1279M) juga beribu kota di Nanjing, maka dialek Nanjing terus diangkat sebagai putonghua untuk jangka masa yang panjang.
Akan tetapi, kedudukan dialek Nanjing terhakis apabila kaum Mongolia dari utara tanah besar China menakluki wilayah di selatan China. Mereka memulakan Dinasti Yuan (1271-1368M) dan memindahkan ibu kota ke Beijing (Peking). Sejak itu, dialek Beijing pula menjadi bahasa umum yang baharu.
Kemudian, Dinasti Ming (1368-1644M) mengambil alih tampuk pemerintahan China. Ibu kota Dinasti Ming dipindahkan kembali ke Nanjing. Dialek Nanjing sekali lagi dipilih menjadi bahasa umum, kononnya ia lebih halus pertuturannya.
Kaum Manchuria dari utara seterusnya menghapuskan Dinasti Ming dan membentuk kerajaan Dinasti Qing (1644-1912M) di Beijing. Dialek Beijing kembali menjadi bahasa umum lebih kurang tiga abad.
Pada 1909, kerajaan Dinasti Qing dengan rasminya menjadikan dialek Beijing sebagai putonghua mereka. Putonghua pada masa itu juga diisytiharkan sebagai bahasa kebangsaan atau guoyu (bahasa negara).
Pada zaman Dinasti Ming dan Dinasti Qing, banyak orang Eropah datang ke China atas tujuan perniagaan dan diplomatik. Ketika itu, pegawai-pegawai kerajaan China menggunakan satu bahasa pertuturan yang dinamakan guanhua (bahasa rasmi/bahasa pegawai). Guanhua digunakan oleh pegawai-pegawai di istana kerana ia dianggap paling berprestij dan difahami secara meluas pada masa itu.
Orang Eropah mengenali guanhua sebagai mandarin. Istilah mandarin diserap daripada perkataan Portugis, mandarim yang membawa maksud pegawai. Perkataan ini juga merujuk kepada dialek pertuturan pegawai-pegawai di istana China yang telah diselaraskan bagi melancarkan urusan kerajaan.
Namun, menurut kamus-kamus moden, perkataan mandarin sebenarnya dipinjam daripada bahasa Melayu ‘menter.’ Istilah menteri pula kemudiannya didapati berasal daripada bahasa Sanskrit, mantri.
Pada 1912, Parti Kuomintang menubuhkan kerajaan Republik China (ROC), menggulingkan kerajaan Qing melalui revolusi. Dialek Beijing dikekalkan sebagai putonghua.
FONETIK
Pada masa itu, aliran pemikiran dan ilmu sains Barat mula mempengaruhi pemikiran orang China. Maka, konsep nasionalisme mula berakar di China. Orang Cina merasakan untuk membentuk sebuah negara kukuh dan kuat, mereka memerlukan satu bahasa umum yang mantap dan digunakan secara meluas di seluruh pelosok negara. Maka, putonghua diperkasakan.
Kali ini, putonghua diberi nama baharu sebagai guoyu, iaitu bahasa kebangsaan.
Oleh itu, guoyu mula diperkenalkan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah menggantikan pengajaran dalam dialek puak masing-masing. Di seberang laut, sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh masyarakat Cina tempatan juga mula mengajar dalam bahasa Cina atau guoyu selepas Perang Dunia Pertama.
Pada 1932, sekumpulan pakar bahasa berjaya menyusun sebuah kamus pertama yang merekodkan dialek daerah utara. Kamus itu menjadi asas kepada perkembangan putonghua.
Republik Rakyat China (PRC) ditubuhkan pada 1949 selepas Perang Saudara di China. Putonghua seterusnya dikekalkan sebagai bahasa pertuturan rasmi di China pada 1955. Namun, Taiwan menggunakan istilah guoyu bagi bahasa Cina yang dipertuturkan di sana.
Sesungguhnya, putonghua sekarang tidak lagi sama dengan dialek Beijing pada masa dahulu, namun kita dapat menyimpulkan bahawa ia menggunakan fonetik Beijing sebagai fonetik baku.
Kerajaan China yang baharu juga menggalakkan rakyatnya bertutur putonghua di tempat-tempat kerja. Bagaimanapun, ramai orang masih suka menggunakan dialek tempatan untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga dan sahabat handai dalam kehidupan seharian kerana ia lebih selesa dan mendekati hati.
Menurut data statistik Kementerian Pendidikan Negara China pada 2020, 80 peratus rakyat China boleh bertutur putonghua. Putonghua digunakan secara meluas dalam rancangan televisyen, radio dan filem.
Kini, putonghua turut diajar secara meluas melalui sistem persekolahan di seluruh dunia. Dengan itu, orang yang mempelajari dan menguasai putonghua dapat berinteraksi dengan penutur bahasa yang sama walaupun berasal dari tempat dan negara berlainan.
Istilah zhongwen juga digunakan secara meluas sekarang. Ia merujuk kepada bahasa Cina yang digunakan oleh orang Cina di China, Taiwan dan Hong Kong. Di samping itu, bahasa Cina juga dikenali sebagai hanyu. Akan tetapi, hanyu merangkumi semua bahasa yang digunakan oleh orang keturunan Han termasuk pelbagai dialek.
Di Malaysia, kita sering menggunakan istilah bahasa Cina atau huayu untuk merujuk kepada bahasa persuratan dan bahasa pertuturan dalam kalangan orang Cina. Namun, bahasa Cina yang dituturkan di Malaysia sebenarnya merupakan putonghua.
Pemberian nama bahasa mandarin untuk bahasa Cina sebenarnya adalah tidak tepat. Hal ini kerana bahasa Cina yang dipertuturkan sekarang bukan lagi guanhua yang dipertuturkan oleh pegawai-pegawai China pada zaman silam. – UTUSAN
PENULIS ialah graduan program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Cina dari Universiti Xiamen, China.











