Tidak wajar hentikan tajaan pelajar perubatan

Tidak wajar hentikan tajaan pelajar perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan kerajaan menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi hanya disebabkan permintaan terhadap tenaga kerja bagi bidang berkenaan sudah mencukupi adalah tidak wajar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Ahmad Izzuddin Anuar berkata, tindakan itu tidak menggambarkan konsep Kerajaan Madani yang digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, alasan kerajaan itu juga tidak menggambarkan situasi sebenar di lapangan menyaksikan petugas-petugas kesihatan bekerja dalam keadaan yang mencabar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun jumlah doktor nampak seperti ramai, tetapi boleh dilihat jumlah pesakit juga semakin bertambah. Kita sedang bergerak ke arah populasi yang semakin meningkat umur, jadi semakin ramai pesakit dengan pelbagai non-communicable diseases (diabetes, darah tinggi, dan lain-lain.

“Dengan pertambahan pesakit, beban kerja doktor juga semakin bertambah dan ini akan menyebabkan servis sub optimal diberi kepada rakyat.

“Jadi keputusan kerajaan amat tidak wajar dan tidak menggambarkan sebuah kerajaan madani yang sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai perkara yang paling utama,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam, jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang itu sudah mencukupi.

Katanya, nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara dengan populasi penduduk sehingga Disember 2021 ialah 1:420 dan dijangka nisbah 1:400 mampu dicapai pada 2025. Jelasnya, jumlah pegawai perubatan pada 2021 adalah 72,812 melebihi permintaan iaitu berjumlah 70,721.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sedang berbincang dengan JPA berhubung keputusan menghentikan penajaan itu
dan sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

Mengulas lanjut, Ahmad Izzuddin berkata, jumlah doktor semasa adalah 70,000 termasuk di swasta dan kerajaan manakala nisbah doktor lebih kurang 55 peratus di sektor kerajaan dan 45 peratus di swasta.

“Bagaimanapun, pesakit yang datang ke fasiliti kerajaan adalah 80 peratus dan hanya 20 peratus di swasta. Ketidakseimbangan ini memburukkan lagi beban kerja doktor.

“Pesakit pun terpaksa menunggu dengan lebih lama untuk mendapatkan rawatan, tarikh pembedahan pun terpaksa dilambatkan sebab terlalu ramai pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini