PETALING JAYA: Tempoh pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun boleh dilaksanakan terhadap kursus pengajian bukan profesional namun perlu menepati syarat Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sudah pun melaksanakan pemendekan tempoh pengajian kepada penuntutnya dengan menepati syarat MQA.
Jelasnya, perkara tersebut boleh dilaksanakan terhadap kursus bukan profesional seperti pengajian sains sosial kerana ia tidak melibatkan pihak ketiga iaitu badan profesional lain.
“Dalam konteks kualiti pengajian, tidak ada masalah kerana apa yang penting adalah universiti perlu memenuhi syarat MQA antaranya jumlah jam pengajian perlu mencukupi.
“Selagi mana pemendekan tahun pengajian tersebut mematuhi jumlah jam pengajian, tidak ada masalah untuk ia dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenal pasti 44 program pengajian di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk dipendekkan tempoh pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun.
Menurut Khaled, pemendekan tempoh pembelajaran itu akan dapat membantu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung oleh penuntut.
“Pada masa sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya sambil menambah langkah berkenaan adalah usaha berterusan KPT dalam mengemas kini dan menyusun program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA pada masa sama akan memantau kursus-kursus yang dipendekkan tempoh pengajiannya oleh IPTA yang terlibat supaya tidak melanggar syarat ditetapkan.
“Pihak universiti diberi kebebasan menentukan kursus yang akan dipendekkan masa pengajiannya dan perlu melaporkan kepada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
“Kemudian, JPT akan memaklumkan kepada MQA berhubung perkara itu untuk disemak dan dikemaskini di dalam sistem kami,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Md. Mansur berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kursus yang boleh ditawarkan secara hibrid di IPTA tersebut.
Bagaimanapun, jelasnya, tidak semua kursus boleh dipendekkan tempoh pengajiannya seperti kursus profesional dan hands-on.
“Apa yang ingin dilakukan ini ada kebaikan dan keburukannya, namun pihak universiti pada masa sama mahu memastikan ada penuntut juga di kampus supaya mereka rasai pengalaman tersebut.
“Bagaimanapun, kami menyahut saranan menteri untuk perkara itu dan akan kenal pasti program-program yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat ini,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan pengalaman melaksanakan pengajian secara atas talian secara menyeluruh, beliau melihat cadangan tersebut boleh dilaksanakan.
Bagi Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Roziah Mohd. Janor pula, UiTM mungkin tidak akan melaksanakan pemendekan pengajian tersebut pada tahun ini.
“Ia mungkin akan dilaksanakan tahun hadapan memandangkan pengurusan perlu menyelesaikan beberapa cabaran untuk melaksanakannya,” katanya. – UTUSAN










