AKSB akui terima banyak aduan tiada bekalan air

AKSB akui terima banyak aduan tiada bekalan air

Seorang pekerja kedai makan menunjukkan masalah ketiadaan bekalan air yang kerap berlaku di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menerima ba­nyak aduan berkaitan ketiadaan bekalan air bersih di beberapa kawasan di seluruh negeri ketika negara dilanda kemarau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusinya, Datuk Azami Mohd. Nor berkata, situasi itu disebabkan paras air di loji-loji rawatan air AKSB menurun sekali gus rumah-rumah yang berada di hujung sesebuah kawasan tidak menerima bekalan.

“Sepertimana berlaku di Loji Rawatan Air Kelar di Pasir Mas baru-baru ini, kebiasaannya jumlah air berada pada 78 juta liter sehari tetapi telah menurun kepada 60 hingga 65 juta liter sehari akibat kemarau. Untuk menangani masalah ini pihak kerajaan negeri telah menyewa sebanyak 38 Lori Air Khas (LAK) dengan kadar RM450 sehari.

“Bekalan air percuma melalui LAK telah bermula pada April 2020 sehingga Disember tahun ini itu melibatkan belanja hampir RM20 juta,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok itu memberitahu, dua pakej penggantian paip yang dilaksanakan ketika ini dikendalikan oleh Ranhill Water Services dan Adasfa Sdn. Bhd.

Katanya, pakej satu bermula pada 29 Mac 2022 dan dijangka siap pada 28 Mac 2024 manakala pakej dua telah bermula pada 13 Julai 2022 dan dijangka siap pada 12 Julai 2024.

“Semua projek ini dilaksanakan di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Pakej satu melibatkan penggantian paip sejauh 103 kilometer dengan kos RM61,487,077.80 dan perkembangan kerja telah mencecah 42 peratus sehingga 25 Mei lalu.

“Pakej dua pula melibatkan penggantian paip sejauh 123 kilometer melibatkan kos RM79,750,818. Kedua-dua pakej ini sedang berjalan dan secara umum kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan kerja yang dilaksanakan,”ujarnya.

Azami turut menjelaskan, pembinaan lima loji rawatan air mini di Ketereh, Teluk Masira, Berek Polis Perol, Wakaf Bharu serta terkini di Meranti sudah hampir siap dan penyerahan itu berkemungkinan besar akan berlangsung Julai ini.

Katanya, lima buah loji mini ini dibuat melalui pembiayaan kerajaan negeri selepas Kelantan mendapat peruntukan RM400 juta dahulu.

“Kita memperuntukkan RM70 juta kepada AKSB untuk bina lima loji mini berkenaan. Peringkat awal dahulu kita tidak tahu sebarang pembinaan baharu atau baik pulih loji perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Seksyen 45 Akta SPAN berikutan kita menggunakan peruntukan sendiri,” katanya.

Azami menjelaskan, ba­gaimanapun masalah tersebut sudah diselesaikan dan tiada lagi isu berbangkit, malah loji-loji berkenaan telah siap dan manfaatnya telah dirasai oleh penduduk di kawasan terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×