PETALING JAYA: Pencapaian baik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 membuktikan sistem pendidikan negara mampu bergantung pada satu peperiksaan awam sahaja tanpa menduduki peperiksaan utama lain bagi menilai prestasi pelajar.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang berkata, calon-calon SPM 2022 kali ini adalah kumpulan pertama yang tidak menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Menurut beliau, walaupun SPM 2022 adalah peperiksaan awam yang pertama kali mereka duduki, bilangan calon memperoleh A tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Sehubungan itu katanya, penilaian digunakan Kementerian Pendidikan untuk menilai pencapaian pelajar selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3 dimansuhkan, berhasil menunjukkan keberkesanan dalam proses pembelajaran di sekolah.
“Untuk calon SPM kali ini, apa yang dapat saya lihat kejayaan dan peningkatan pencapaian dalam peperiksaan tersebut di sesebuah sekolah adalah merupakan hasil komitmen yang diberi pelajar dan guru,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, semua pihak harus mengakui peranan guru dan pelajar yang menjalankan peranan dan tanggungjawab dengan baik sehingga menghasilkan pencapaian cemerlang tersebut.
“‘Selain memberi pengiktirafan kepada pelajar yang berjaya, guru yang turut menyumbang dalam kejayaan mereka juga turut perlu diberi penghargaan,” katanya.
Jelas beliau, penghargaan tersebut dapat memberi dorongan kepada guru berkenaan untuk terus membimbing pelajar-pelajar yang bakal menduduki SPM akan datang.
Sementara itu, Presiden Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kejayaan calon SPM 2022 jangan dinilai melalui perbandingan peningkatan pencapaian dari tahun sebelumnya.
Namun sebaliknya, beliau berkata, semua pihak perlu mengkaji semula sejauh mana kualiti peperiksaaan tersebut dan adakah boleh diselaraskan dengan standard piawaian pendidikan bertaraf antarabangsa.
Katanya, peperiksaan SPM masih memerlukan penambahbaikan dari segi mutunya agar boleh ditafsir sebagai peperiksaan bertaraf bukan sahaja kebangsaaan, malah kualitinya setanding antarabangsa.
“Berkemungkinan pencapaian yang dicapai oleh pelajar tersebut adalah dari penambahan markah daripada penilaian mereka di sekolah,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau berpendapat pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dilaksanakan sememangnya berkesan dalam menilai pencapaian pelajar.
Namun begitu, beliau berkata, pentaksiran tersebut hanyalah menilai prestasi pelajar di peringkat sekolah sahaja dan tidak dapat disesuaikan ke peringkat yang lebih bermutu dari segi gaya pendidikan.
Beliau turut menyifatkan kejayaan calon-calon SPM 2022 itu adalah disebabkan sikap serius dan konsisten para pelajar dan guru dalam proses pembelajaran walaupun pada permulaannya mereka juga turut menerima tempias Pandemik Covid19. – UTUSAN











