KEPELBAGAIAN kaum, budaya, agama, amalan dan bahasa di negara kita seharusnya diraikan dan dibanggakan. Apatah lagi kita sering mengangkat keunikan itu sebagai salah satu tarikan pelancong. Perbezaan, kelainan dan keunikan yang wujud bukanlah sesuatu untuk merenggangkan hubungan antara kaum, sebaliknya harus dijadikan unsur yang menyumbang kepada proses saling berkenalan dan lebih memahami antara satu sama lain.
Atas dasar itulah, baru-baru ini saya mengajak beberapa kenalan untuk berkongsi perkara positif yang mereka pelajari dan hargai hasil pergaulan dengan individu berbeza kaum dan latar budaya.
“Keluarga saya dulu ada kawan keturunan Malayali. Anak perempuan keluarga itu juga kawan sekolah saya. Kami berkawan sejak kecil dan pada cuti sekolah, saya dibenarkan bermalam di rumah kawan itu,” Irene Tan Ai Ling dari Kota Bharu, Kelantan memulakan perkongsian.
Salah satu perkara menarik yang masih segar dalam ingatan Irene ialah teh atau chaya yang disediakan oleh ibu kepada sahabatnya. Kenangan-kenangan kecil seperti inilah yang sebenarnya membuktikan keintiman sebenar yang lahir dari jiwa.
“Serbuk teh direbus di dalam periuk sebelum dibancuh dengan susu.
“Rasanya macam teh tarik di kedai mamak. Apabila memasak nasi, air rebusan nasi dituang sebaik saja ia menggelegak,” pesara jururawat itu berkongsi cerita tentang sahabatnya, Jeya yang kini menetap di Klang, Selangor dan menjadi pembantu perubatan di sebuah hospital swasta.
Irene turut terkenang masakan ikan sardin yang memang enak kerana dicampur ramuan rempah ratus serta daun kari. Keenakan masakan gaya orang Malayali menjadi sebahagian kenangan indah yang turut melahirkan keintiman dan persahabatan erat.
“Apabila kami ke kuil, makanan dihidang dalam daun pisang. Saya diajar cara melipat daun menghala ke arah diri selepas habis makan. Saya diberitahu, kita melipat daun pisang menghala ke arah luar pada upacara kematian sahaja,” penulis itu menceritakan.
Turut berkongsi pengalaman bergaul mesra dengan jiran dan rakan kaum lain ialah Rushida Abdul Wahid dari Klang, Selangor.
“Antara perkara yang menarik perhatian apabila berkunjung ke rumah kawan kaum India ialah hidangan pelbagai jenis makanan yang sedap dan lengkap dengan segala rempah ratus.
Keunikan budaya yang ditonjolkan, ikatan kekeluargaan yang mantap, cara melayan dan menyantuni tetamu, kebersihan rumah dan persekitaran serta kemesraan sejati membuatkan saya tertarik,” ulas suri rumah berkenaan tentang persahabatan yang bermula semasa kecil dan masih kekal sehingga kini.
Dalam perbincangan rancak yang berlangsung, Low Wei Hsing dari Kuala Lumpur segera menunjukkan sekeping foto lama yang masih diabadikan sebagai kenangan bernilai.
“Saya juga ada rakan karib kaum India sejak kecil. Keluarganya turut melayan saya dengan penuh mesra. Selain makanan yang sedap, saya dipelawa memakai pavade thavani iaitu gaun dan selendang tradisional gadis India,” katanya.
KARI IKAN
Makanan yang paling Wei Hsing minati ialah kari ikan yang dimasak dengan tairu atau yogurt. Beliau juga suka minum rasam, iaitu sup tradisional yang mengandungi pelbagai rempah ratus.
“Rakan karib saya, Susthitha Menon kini seorang doktor. Semasa kecil, dia belajar tarian bharatanayam dan saya begitu suka melihat dia menari. Dari situlah bermula minat saya mengkaji budaya India dan Hindu,” kata aktivis sosial itu yang meminati epik Ramayana, Mahabharata dan Bhagavad Gita serta karya-karya Rabindranath Tagore.
Daripada cara Wei Hsing berkongsi kisah silam, amat nyata beliau sangat menghargai persahabatan yang lahir tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan budaya.
Bagi Vikneswary Suppiah dari Pulau Pinang, kerjaya sebagai tenaga pendidik di sebuah sekolah aliran Cina memberinya peluang menimba pelbagai pengalaman yang menarik dan berharga.
“Salah satu budaya yang saya perhatikan ialah murid-murid menerima atau memberi sesuatu menggunakan kedua-dua belah tangan. Selain itu, mereka menundukkan kepala seperti gaya orang Jepun dengan penuh hormat sambil mengucapkan selamat pagi atau tengah hari setiap kali berselisih dengan guru,” beliau menceritakan.
Pada pemerhatian Vikneswary, murid-murid kaum Cina yang ditemuinya setiap hari mempunyai adab makan yang amat sopan. Mereka tidak mengeluarkan bunyi ketika makan.
“Kehadiran mereka ke sekolah sangat memuaskan dan mereka juga sangat aktif dalam kokurikulum,” kata guru itu yang tidak rasa malu untuk mengambil semangat daripada budaya positif ditunjukkan murid-muridnya.
Penulis veteran, M. Mahendran dari Bentong, Pahang mendapati jiran tetangga kaum Cina tidak menghias rumah secara berlebih-lebihan dan membazir wang. Kehadiran ruang altar warna merah di dalam rumah dan tokong kecil di luar rumah menunjukkan kaum Cina sentiasa berpegang pada budaya tradisi nenek-moyang.
“Apabila tiba waktu makan malam, mereka berkumpul seluruh keluarga untuk makan bersama dan membincangkan apa-apa hal penting. Perbuatan kecil ini amat penting untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan,” ulas Mahendran yang berharap unsur-unsur positif seperti ini menjadi budaya Bangsa Malaysia.
Hidup Indrarao Ramulu dengan masyarakat Cina juga sukar dipisahkan.
Beliau yang lahir di Taiping, Perak memang dibesarkan, belajar dan bekerja dalam kalangan orang Cina.
“Saya kagum dengan cara orang Cina menguasai ilmu kira-kira. Matematik bagi orang Cina bukan hanya mata pelajaran tetapi satu amalan hidup seharian. Nombor, kira-kira dan matematik ibarat jantung dan hati mereka. Saya belajar hal ini daripada mereka,” kata beliau yang kini menjadi guru mata pelajaran Kimia. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










