PUTRAJAYA: Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 mencatat pencapaian lebih baik berbanding tahun sebelumnya dengan 10,109 calon berjaya mendapat keputusan semua A.
Gred Purata Nasional (GPN) juga menunjukkan prestasi lebih baik iaitu 4.74 berbanding 4.86 tahun sebelumnya manakala bilangan calon yang layak mendapat sijil meningkat kepada 91.6 peratus daripada 373,974 calon berbanding 88.1 peratus dalam SPM 2021.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, keputusan peperiksaan itu juga menunjukkan prestasi mata pelajaran teras seperti bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik dan Sains meningkat berbanding pencapaian SPM 2021.
Katanya, pencapaian calon-calon di bandar dan luar bandar turut menunjukkan peningkatan dengan jurang pencapaian semakin mengecil iaitu 0.03 mata berbanding tahun sebelumnya.
“Bagi soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) pula secara keseluruhannya, 57.8 peratus calon mempunyai tahap penguasaan baik dalam menjawab soalan KBAT,” katanya ketika mengumumkan keputusan SPM 2022 dan analisis pencapaiannya di sini, semalam.
Mengulas faktor mendorong prestasi baik SPM 2022 itu, Pkharuddin berkata, ia banyak dibantu oleh akses dan capaian pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) lebih meluas ketika pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Kita tahu katakan bahawa ia mungkin kesan daripada pandemik Covid-19 yang mana calon berjaya mendapat akses kepada mata pelajaran lebih meluas menerusi pembelajaran secara dalam talian,” katanya.
Menurut Pkharuddin, jumlah calon yang layak dapat sijil SPM pada kali ini juga melebihi 90 peratus dan ia adalah pencapaian terbaik sejak 2013.
Katanya, jumlah layak dapat sijil bagi SPM 2022 meningkat kepada 91.6 peratus berbanding 88.1 peratus tahun sebelumnya.
Beliau berkata, berdasarkan syarat pensijilan SPM ditetapkan mulai 2013, calon mesti memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk layak memperoleh sijil SPM.
“Kenaikan peratus layak dapat sijil itu disokong prestasi mata pelajaran Sejarah yang merekodkan peningkatan 0.23 mata iaitu tertinggi bagi mata pelajaran teras,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Pkharuddin, calon memperoleh keputusan semua A meningkat 2.7 peratus berbanding 9,696 calon tahun 2021 manakala bilangan sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran, 75,322 orang berbanding 71,842 orang dalam SPM 2021.
“Sementara itu, seramai 128,193 calon lagi memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2022 berbanding 129,796 calon pada tahun 2021,” katanya.
Katanya seramai 75,322 calon atau 20.1 peratus calon lagi memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.
Jelasnya, SPM 2022 juga menunjukkan prestasi lebih baik apabila merekodkan GPN 4.74 berbanding 4.86 bagi SPM 2021.
“GPN bagi kategori sekolah-sekolah pula turut menunjukkan peningkatan dan paling ketara adalah sekolah menengah agama rakyat iaitu daripada 6.10 pada 2021 kepada 5.71 pada 2022.
“Ini adalah kali pertama sekolah menengah agama rakyat mendapat gred purata nasional di bawah daripada angka 6.0 manakala sekolah menengah agama negeri mencatat GPN 4.60 pada 2022 berbanding 4.80 tahun sebelumnya,” katanya.
Katanya, calon SPM 2022 juga adalah kohort kedua yang menggunakan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah), iaitu satu format baharu dalam mata pelajaran. – UTUSAN










