SEMASA mengikuti program ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Xiamen, China, saya baru sedar terdapat banyak keturunan orang Arab di Quanzhou, Fujian. Misalnya, Kampung Baiqi di daerah Huian, penduduknya dengan nama keluarga Guo merupakan keturunan bangsa Persia yang beragama Islam. Penduduk bernama keluarga Ding di bandar Chendai, Jinjiang, Quanzhou pula merupakan Muslim yang telah mengalami sinikisasi.
Namun, kedua-dua kumpulan etnik itu masih memperlihatkan kesan pengaruh Islam dalam amalan hidup dan menonjolkan identiti Islamik dalam kalangan mereka. Keadaan ini telah mengatasi pemikiran stereotaip saya bahawa China diduduki orang keturunan Han semata-mata.
Saya pernah melawat Masjid Al-Ashab di Quanzhou. Masjid ini dibina pada 1009 dan merupakan masjid tertua binaan orang Arab-Muslim di China. Menurut catatan sejarah, Laksamana Cheng Ho pernah mengadakan upacara membaca doa di masjid tersebut sebelum memulakan pelayaran ke Barat.
Semasa belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Jern, Bukit Pasir, Muar, Johor, terdapat tiga murid Melayu di sekolah saya, iaitu Jalil yang belajar di kelas sebelah. Abangnya, Razif dan seorang lagi murid bernama Sukri lebih senior setahun daripada saya.
Pada masa itu, hubungan saya dengan Jalil tidak begitu rapat. Kami cuma bertegur sapa ketika bertemu dan berkomunikasi dalam bahasa Cina. Semasa di sekolah rendah, kami kurang peluang berbahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Saya hanya berkesempatan menggunakan bahasa Melayu ketika membeli setem di pejabat pos.
Setelah tamat sekolah rendah, Jalil memasuki sekolah menengah kebangsaan. Saya pula belajar di Sekolah Menengah Persendirian Chung Hwa, Muar. Semenjak itu, terputuslah hubungan kami berdua.
Sukri pula masih dapat saya temui di pekan. Selepas saya tamat pengajian di universiti dan pulang ke kampung, Sukri telah membuka sebuah restoran, lebih separuh daripada pelanggannya orang Cina. Saya mendapati dia lazim berbual dengan pelanggannya secara lancar dalam bahasa Cina dan Hokkien. Sukri peramah orangnya. Oleh sebab itulah restorannya sering dipenuhi pelanggan pelbagai kaum.
Sepanjang belajar di sekolah menengah, saya hanya menemui tiga pelajar Melayu di situ. Salah seorang pelajar perempuan bernama Anita. Dalam ingatan saya, Anita sangat pandai berceramah dalam bahasa Melayu dan pernah menjadi johan dalam pertandingan berceramah. Dua pelajar lelaki Melayu ialah Ramli dan Azhar. Mereka berdua ialah senior saya. Ramli ialah pemain bola sepak sekolah yang handal.
Sepengetahuan saya, tidak ramai pelajar Melayu dari Malaysia yang belajar di Taiwan. Namun, pada hakikatnya Taiwan sangat mengalu-alukan kedatangan pelajar Melayu Malaysia menuntut di universiti-universiti di sana. Saya juga mendapat tahu terdapat pelajar Melayu dari Malaysia menuntut di Universiti Cheng Kung, Tainan, Taiwan. Akan tetapi, saya sendiri tidak pernah bertembung dengan mereka sepanjang empat tahun menuntut di situ.
HELANG EMAS
Namun begitu, selepas tamat pengajian universiti, saya terdengar khabar tentang seorang senior Melayu, Abdul Karim yang merupakan atlet sukan amat berbakat. Atas prestasinya yang menyerlah dalam bidang sukan, dia dinobatkan penerima Anugerah Helang Emas tahunan oleh Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia di Taiwan (MSAIT).
Selepas tamat pengajian, saya pernah bekerja di Taiwan selama setengah tahun. Ketika itu, beberapa juruteknik Melayu dan India dari Malaysia dihantar ke Taiwan untuk menjalani latihan industri di syarikat saya. Sayalah satu-satunya pekerja yang boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Maka, saya ditugaskan menjadi pengantara untuk membantu mereka dalam kehidupan seharian.
Pada hujung minggu, saya memainkan peranan sebagai pemandu pelancong. Saya juga menolong mereka membeli barang keperluan harian dan makanan. Dari situlah saya berpeluang mendekati masyarakat Muslim di Taiwan. Semasa sambutan Hari Raya Aidiladha, saya akan membawa rakan-rakan Muslim ke Masjid Longgang, Taoyuan untuk meraikan perayaan itu.
Sesungguhnya, Muslim-Taiwan mempunyai hubungan rapat dengan Malaysia. Sebelum terputusnya hubungan diplomatik antara Republik China dengan Malaysia, Allahyarham Ibrahim Ma Tianying, seorang Muslim berbangsa Cina dari China telah dilantik sebagai konsul jeneral di Ipoh mewakili kerajaan Kuomintang. Kemudian, beliau bersama Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Kebanyakan Muslim-Taiwan merupakan penduduk Tanah Besar China yang berhijrah bersama kerajaan Kuomintang ke Taiwan pada 1949. 20,000 orang Islam ini berasal dari kawasan taburan Muslim utama di China seperti Yunnan, Ningxia, Xinjiang dan Gansu. Kebanyakan mereka terdiri daripada perajurit, penjawat awam dan tenaga pengajar. Lokasi penempatan utama mereka pula di Taipei dan Kaohsiung.
Sejarah China dan Taiwan mempunyai hubung kait dengan kaum Arab-Muslim. Pada hakikatnya, komunikasi antara Muslim dan bukan Muslim telah wujud menerusi aktiviti perdagangan yang berkembang pesat pada zaman silam.
Setelah pulang ke Malaysia, saya ditempatkan di syarikat Taiwan yang sama di cawangan Batu Tiga, Shah Alam, Selangor. Saya bertugas di bahagian sumber manusia. Rakan sekerja saya, Siti Rosiah, bekas pelajar Sekolah Menengah Foon Yew di Johor Bahru. Dia mengkaji bahasa asing di Universiti Tunghai, Taiwan. Suaminya pula tamat pengajian dalam bidang kejuruteraan awam dari Universiti Cheng Kung. Mereka berdua mendapat pendidikan di sekolah Cina sejak kecil lagi. Mereka juga biasanya berkomunikasi dalam bahasa Cina. Saya amat selesa bergaul dengan pasangan itu.
Walaupun tidak begitu ramai kawan Melayu, namun sikap sopan santun dan peramah mereka sangat memenangi hati saya. Pada pendapat saya, latar belakang persekolahan dan tempat tinggal tidak harus menjadi penghalang kepada pergaulan dan persefahaman antara kaum yang lebih luas. – UTUSAN
DR. Tee Beng Lee ialah Felow Pusat Penyelidikan Cina Malaysia.










