Bila adat, budi dan adab makin pudar

Bila adat, budi dan adab makin pudar

JOHARI Abdul (duduk, tiga dari kiri) dan Rais Yatim (duduk, tiga dari kanan) bersama para peserta program syarahan Budi Membentuk Tamadun Dalam Konteks Masyarakat Madani di Parlimen, baru-baru ini. – FACEBOOK PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Parlimen, iaitu institusi yang bertanggungjawab menggubal undang-undang tertinggi dalam negara tampil menganjurkan satu syarahan bertajuk Budi Membentuk Tamadun Dalam Konteks Masyarakat Madani.

Program julung kali dianjurkan oleh Parlimen itu dihadiri ahli-ahli Parlimen, orang awam termasuk pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar dan pensyarah universiti tempatan serta orang-orang berpengaruh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Di negara ini, sudah menjadi kebiasaan bagi setiap perdana menteri yang dilantik mengumumkan pelbagai slogan dan dasar baharu dalam usaha menyediakan minda rakyat untuk bersama kerajaan bagi menangani atau menghadapi cabaran dan permasalahan yang timbul.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan ini, kita lihat Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menitikberatkan usaha mengisi kemerdekaan atau nation building sebagai dasar kerajaan. Matlamat utama kerajaan kepimpinan beliau adalah mengeratkan hubungan harmoni dalam kalangan pelbagai kaum, iaitu orang Melayu, Cina dan India yang tinggal secara berasingan kesan dasar pecah dan perintah oleh pihak pentadbiran British.

Apabila Tun Abdul Razak Hussein dilantik sebagai Perdana Menteri kedua, susulan terjadi rusuhan kaum, beliau melancarkan Rukun Negara, Buku Hijau serta Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebagai dasar dan program sosioekonomi untuk menghapuskan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat yang menjadi punca kepada tercetusnya konflik dan rusuhan antara kaum.

Seterusnya, Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn meneruskan dasar-dasar Abdul Razak sambil menekankan kepada dasar perpaduan antara kaum atau nasional yang menjadi asas dan teras kepada membina negara. Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri keempat, beliau melancarkan pelbagai slogan dan dasar termasuk Bersih, Cekap dan Amanah; Pandang ke Timur dan Wawasan 2020.

Seterusnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelima memperkenalkan konsep Islam Hadhari dalam usaha menangani persepsi mengaitkan Islam dengan gerakan keganasan atau terorisme yang melahirkan Islamofobia atau fenomena kebencian terhadap Islam atau orang Islam.

NAMBIKAI

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih daripada Abdullah, beliau melancarkan konsep-konsep 1Malaysia dan Wasatiyyah Negara untuk menyemai sikap dan perasaan kekitaan dan kesederhanaan dalam kalangan pelbagai kaum. Beliau juga melancarkan konsep Nambikai (yakin dalam bahasa Tamil) untuk meraih sokongan kaum India terhadap kerajaan yang semakin merosot.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan melancarkan slogan Keluarga Malaysia dalam menangani masalah polarisasi yang menjangkau tahap kemuncak dalam medan politik negara.

Kini, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk menerajui kerajaan campuran yang dirujuk sebagai kerajaan perpaduan mengumumkan slogan Kerajaan Madani. Konsep madani pada awalnya dikemukakan oleh ahli falsafah Islam terulung, Abu Nasr al-Farabi melalui karyanya, Mabadi al-Madinah al-Fadhilah (Kota Utama). Inti pati falsafah yang terkandung dalam karya tersebut adalah warga kota harus terdiri daripada mereka yang mengerti hakikat kebenaran, memiliki kemampuan bertindak secara bijak dan sederhana untuk mencapai kebahagiaan hidup (al-sa’dah).

Memandangkan Anwar merupakan salah seorang pengasas Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), malah dilantik sebagai Presiden kedua pada 1974, beliau didapati menterjemahkan konsep madani tersebut dalam perjuangan ABIM. Malah beliau yang terpengaruh dengan falsafah ABIM, iaitu membina dan memimpin tamadun Khayra Ummah, dikesan mengadunkan dan menjalarkan falsafah Khayra Ummah melalui pendekatan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran pada 1985 semasa menganggotai kerajaan kepimpinan Dr. Mahathir.

Namun, pelaksanaan dasar tersebut terhenti apabila beliau tidak lagi dalam kerajaan. Jadi, tidak hairan beliau memperkenalkan konsep madani sebagai hala tuju kerajaan yang dipimpin olehnya sendiri pada ketika ini.

Sehubungan dengan kerajaan madani, rakyat terutama warga bukan Islam, perlu sedar bahawa meskipun konsep tersebut menekankan kepada nilai-nilai murni yang dituntut dalam Islam, kerajaan madani bukanlah bermakna negara Islam (khilafah).

Rukun-rukun yang ditekankan dalam kerajaan madani seperti kemapanan, kesejahteraan, daya cipta, saling hormat-menghormati serta bersikap ihsan berdasarkan keyakinan antara satu sama lain adalah nilai-nilai universal. Rukun tersebut dijangka memacu Malaysia ke arah sebuah negara moden, bersatu padu dan maju dalam kerangka reformasi.

Memandangkan adat, budi dan adab yang diwariskan turun-temurun makin pudar dalam kalangan generasi pascamerdeka, malah tingkah laku segelintir ahli-ahli Parlimen yang bersifat kurang tertib dan biadab semasa menyampaikan hujah-hujah di Parlimen menjadi bahan ketawa di kaca mata orang awam, maka program syarahan tersebut anjuran Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul adalah amat relevan malah tepat pada masanya. – UTUSAN

Datuk M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×