PETALING JAYA: Bilangan Harimau Malaya dalam hutan di negara ini dianggarkan kurang dari 150 ekor dan diramal mampu bertahan untuk 10 tahun lagi jika tiada usaha proaktif untuk mengelaknya pupus.
Berdasarkan kajian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung dengan kerjasama agensi lain termasuk World Wildlife Fund (WWF) Malaysia mendapati, bilangan Harimau Malaya atau dalam bahasa saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni kurang dari 150 ekor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah populasi harimau tersebut diperoleh hasil bancian daripada Program 1st National Tiger Survey (1st NTS) bermula 2016 hingga 2020.
Menurutnya, program bancian yang pertama kali dilaksanakan dengan berskala besar itu dilakukan di Semenanjung menerusi peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11.
“Program 1st NTS ini dilaksanakan di kawasan hutan yang dikenali sebagai Central Forest Spine yang mewakili hutan-hutan di Banjaran Bintang, Banjaran Titiwangsa, Banjaran Tahan dan kompleks hutan selatan Semenanjung Malaysia dengan jumlah keluasan hutan seluas lebih 40,000 kilometer persegi.
“Lebih 4,000 kamera dipasang untuk mendapatkan gambar Harimau Malaya. Gambar ini dikumpul dan dianalisa untuk mendapatkan angggaran populasi haiwan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, program tersebut dijayakan dengan kerjasama antara Perhilitan dan badan bukan kerajaan seperti WWF Malaysia, Wildlife Conservation Society, Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia (Pelindung) dan RIMBA.
“Program 1st NTS ini telah menunjukkan bahawa populasi Harimau Malaya adalah kurang daripada 150 ekor di habitat liar,” katanya.
Susulan kajian tersebut, Abdul Kadir berkata, kerajaan telah melihat isu ini dengan serius dan bersetuju melaksanakan sembilan tindakan strategik bagi melindungi spesies itu.
Menurutnya, antara tindakan dilaksanakan adalah pembentukan Pasukan Petugas Khas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau MyTTF yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.
“Tindakan penting yang lain adalah meningkatkan kakitangan di lapangan menerusi rondaan penguatkuasaan bagi menangani isu pemburuan haram dan pencerobohan hutan habitat Harimau Malaya.
“Program Operasi Bersepadu Khazanah dan Renjer Komuniti merupakan sebahagian Program Biodiversity Protection and Patrolling (BP3) melibatkan kerjasama pelbagai agensi yang terdiri daripada Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Jabatan Perhutanan, Jabatan Imigresen, pihak badan bukan kerajaan, veteran tentera dan polis serta Orang Asli dan komuniti setempat,” katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Kadir berkata, tindakan lain yang diambil adalah dengan mewujudkan Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM, meningkatkan pemeliharaan dan pemuliharaan habitat Harimau Malaya, mewujudkan unit harimau di Jabatan Perhilitan dan pasukan taktikal khas kawasan perlindungan bagi konflik harimau serta memperkasa Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai center of excellent.
Beliau berkata, turut dilaksanakan adalah menyediakan insentif kepada kerajaan negeri bagi melindungi habitat harimau menerusi Ecological Fiscal Transfer (EFT) dan meningkatkan pengurusan menerusi pelbagai skim akredistasi.
“Semua tindakan ini memenuhi kriteria menyokong pelan pemulihan harimau di Malaysia dan ia juga mewakili komitmen negara terhadap Deklarasi St. Petersburg di Russia yang dipersetujui oleh semua Ketua Negara Tiger Range Countries pada tahun 2010. – UTUSAN










