Tekad tamatkan generasi perokok - Utusan Malaysia

Tekad tamatkan generasi perokok

parlimen
DR. ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

“SANGAT-SANGAT mencabar berada di sini,” ujar DR. ZALIHA MUSTAFA sebaik sahaja ditanya pengalamannya menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh enam bulan ini.

Beliau yang kali pertama menang dalam pilihan raya umum (PRU) tidak menyangka dilantik sebagai menteri apatah lagi dipilih menerajui kementerian kedua terbesar dan terpenting selepas Kementerian Pendidikan.

Mempunyai 40 bahagian dalam kementerian ini bukan mudah dalam menyantuni kumpulan sasar di semua peringkat. Namun, latar belakangnya sebagai pengamal perubatan sangat membantu untuk memahami masalah yang berlaku sekali gus memberikan pandangan terbaik.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM, ZAREEN HUMAIRAH SEJAHAN dan MUHAMMAD ARIF CHE SOH bersama jurugambar, MOHD. FAISOL MUSTAFA dan juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL di pejabatnya Jumaat lalu, beliau berkongsi tekad dalam membawa misi besar dalam reformasi kesihatan negara selepas melalui episod hitam Covid-19, menerusi Kertas Putih Kesihatan dan meneruskan perjuangan dasar generasi penamat rokok (GEG) demi melindungi generasi muda daripada terjebak rokok.

NAIK TARAF KEMUDAHAN KESIHATAN DAIF

UTUSAN: Apakah fokus selepas pandemik Covid-19?
DR. ZALIHA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) buat keputusan Covid-19 bukan lagi kategori kecemasan kesihatan global. Bagi saya dalam tiga tahun berdepan pandemik, kita hanya fokus Covid-19 tetapi penyakit kebiasaan seperti penyakit tidak berjangkit (NCD) itu agak terlepas pandang. Kesesakan hospital itu adalah kerana NCD ini datang balik, namun bukanlah penyebab utama.

NCD juga kita nampak meningkat mungkin kerana faktor pemakanan, sosial dan umur termasuk dalam kalangan individu muda. Selain itu, isu legasi iaitu kemudahan daif. Masa Covid-19, orang lupa mengenai perkara itu.

Isu kemudahan daif ini amat penting juga kerana kita mahu berikan rawatan terbaik, jadi perlu berikan kemudahan yang baik. Ada antara kemudahan berusia lebih 50 tahun, orang nak pergi pun takut kerana ada pelbagai masalah pada bangunan itu.

Kita mahu fokuskan tentang kemudahan daif ini kerana kita sudah ada pekerja, doktor dan jururawat, kita hanya perlu naikkan taraf berbanding kalau nak bina hospital baharu yang perlu difikirkan keseluruhannya. Kita akan cuba untuk fokuskan pada isu ini dalam setahun dua ini.

PENDEKATAN MENDIDIK PELAJAR

Boleh jelaskan kenapa penambahbaikan rang undang-undang (RUU) yang berkaitan GEG masih belum dibentangkan di Parlimen?
Bekas menteri telah membawa RUU Kawalan Produk Tembakau. Ia telah capai bacaan kali kedua dan dibawa kepada jawatankuasa khas. Jawatankuasa itu mencadangkan beberapa peningkatan baharu untuk diubah dalam RUU dibawa pada ketika itu, namun tidak sempat kerana Parlimen bubar.

Bila saya masuk (jadi menteri), memang itu perkara yang ditanya media dan orang ramai. RUU ini istimewa kerana tidak bersifat politik tetapi lebih fokus kepada kesihatan awam. Sesiapa sahaja menterinya, dia perlu bawa perkara ini. Saya anggap ini sebagai cabaran.

Perubahan dalam RUU ini adalah pada beberapa bahagian. Pertama sekali, topiknya juga berubah daripada RUU Kawalan Produk Tembakau kepada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.

Kohort yang terlibat mencadangkan tahun 2005, tetapi jawatankuasa pada masa itu tukar kepada 2007 supaya kita ada soft landing (berperingkat). Kohort itu tukar untuk kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2007. Selain itu, aspek pengilangan, pengagihan serta penguatkuasaan.

Ada juga disebut, yang membimbangkan adalah pemeriksaan pada tubuh badan terutama untuk anak-anak perempuan. Kita ada cadangan baharu iaitu pemilikan itu, kita tidak ambil tindakan tetapi kalau kita nampak dia merokok baru diambil tindakan.

Jika dahulu kompaun yang dicadangkan adalah RM5,000 tetapi sekarang adalah RM500. Ada kebaikan dan keburukannya tetapi kita ambil pendekatan untuk mendidik anak-anak yang menggunakan produk berkenaan. Tindakan ini lebih mendekat dan tidak patut dianggap sebagai jenayah. Kita mahu didik anak-anak supaya mereka tahu tindakan ini membawa kesan buruk kepada mereka.

Semakin banyak produk merokok dijual di Malaysia. Bagaimana kita nak uruskan perkara ini memandangkan industri itu juga memerlukan pendapatan?
Kita tengok golongan hisap rokok berkurang tetapi vape meningkat. Ini kerana vape lebih menarik dengan warna, bentuk dan baunya membuatkan kanak-kanak mahu mencuba.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penjualan di luar sekolah, jadi ini membuktikan usaha untuk menghentikan perkara ini merentas kementerian. Kita mulakan pendidikan itu dengan kanak-kanak yang kita sudah jalankan program Kesihatan Oral Tanpa Amalan Merokok (KOTAK).

Ini menarik kerana kita bekerjasama dengan pihak sekolah. Doktor gigi datang ke sekolah dan mengesan anak-anak yang merokok dengan perubahan pada gigi dan mulutnya juga. Bila kita jumpa, kita boleh memberikan kit serta pendidikan tentang bahaya rokok.

Tahun lepas kita ada buat saringan di sekolah rendah dan sekolah menengah dan bagi sekolah rendah kita mengenal pasti 341 pelajar merokok daripada dua juta jumlah saringan. Bagi sekolah menengah, kita saring 1.3 juta pelajar dan jumlah pelajar merokok adalah seramai lebih 43,000. Itu yang kita amat bimbang.

Kita mahu mendesak supaya RUU kita dapat bentangkan dalam sesi Parlimen akan datang ini dan harapnya diluluskan supaya kita dapat laksanakan.

RUU PENTING BAGI KAWAL PENGGUNAAN VAPE

Bagaimana pula kekeliruan mengenai membenarkan penggunaan vape sedangkan kita mahu melaksanakan GEG?
Sebab itu sebenarnya, kita sedar dalam pembentangan belanjawan hari itu, kerajaan mahu kenakan dan meletakkan duti eksesais pada produk vape, itu adalah prosesnya. Kita tidak kata itu adalah tindakan yang baik tetapi kita sebagai kementerian yang menjaga kemaslahatan rakyat, kita mahu RUU dapat dilakukan dengan cepat untuk mengawal produk untuk anak-anak ini.

Apakah halangan RUU ini?
Kita ada halangan, namun sangat minimum dalam kalangan industri ini. Apa yang paling penting, RUU ini dibawa ke Parlimen. Kita sudah jumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terangkan kepada beliau bahawa RUU ini berbeza dengan yang dahulu dan kepentingannya. Kita juga berjumpa dengan ahli-ahli Parlimen merentas blok serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Setakat yang kita tengok ini, memang besar kemungkinan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam ini akan mendapat majoriti, ia akan dibentangkan Jun ini.

TAMBAH BELANJAWAN KESIHATAN AWAM

Apakah inti pati Kertas Putih Kesihatan yang paling besar sebagai indikasi reformasi sistem kesihatan negara?
Memang satu perkara yang besar, sebuah pelan yang kita rancang sehingga 15 tahun dengan tiga tonggak utama Kertas Putih itu.

Pertama, mengenai fasiliti daif, digitalisasi dan kakitangan kesihatan; manakala tonggak kedua adalah promosi penjagaan primer yang juga penting dan besar. Kalau kita tengok hospital kita sesak, masa menunggu lama dan perlu bina hospital baharu kerana penawaran dan permintaan. Alangkah baiknya kalau rakyat sihat, semua masalah ini boleh berkurang.

Kemudian kita perlu tengok juga pada bahagian belanjawan. Susulan peningkatan jumlah pesakit, saya cadang untuk menambahkan belanjawan kepada kesihatan awam. Sektor kesihatan dapat 2.2 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), jadi memang tidak cukup kerana banyak perkara yang kita hendak buat tetapi sekiranya kita boleh dapat lebih.

Cadangan daripada negara berpendapatan sederhana macam kita, memerlukan lima peratus daripada keseluruhan KDNK untuk yang terbaik.

Lambakan vaksin Covid-19?
Keadaan pandemik semakin tenang, kita dalam transisi endemik dan peningkatan kes juga bergantung ketika musim perayaan dan sebagainya. Kes kategori tiga, empat dan lima ini hanya berlaku pada warga emas dan juga mereka berpenyakit komorbid (individu yang menghidap dua atau lebih penyakit yang tidak berkaitan secara serentak).

Pengambilan dos penggalak itu saya boleh katakan masih rendah, dos penggalak kedua lebih rendah. Ini mungkin kerana ramai yang semakin lega tetapi saya sebut Malaysia masih dalam kawasan jangkitan tempatan sehingga 30 Jun ini. Dalam pertengahan Jun ini, kita akan menilai semula sama ada kita akan tamatkan atau tidak.

HARAP JPA SAMBUNG PEKERJA KESIHATAN KONTRAK

Apakah status bagi isu perjawatan pekerja-pekerja kesihatan yang diambil ketika pandemik?
Sebenarnya kita sudah hantar perjawatan mereka ini di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Setakat ini mereka masih di situ dan tidak dibuang. Pada masa ini, kita harap perjawatan mereka diluluskan. Kita dapat kumpulkan jumlah keseluruhannya adalah seramai 11,000.

Itu bermula daripada mogok doktor kontrak, saya telah bawa kepada Kabinet dan saya bentangkan statistik dan akhirnya mereka faham perkhidmatan kesihatan ini dalam keadaan mendesak.

Kita punya pertemuan dengan JPA dan Kementerian Kewangan memang kita bawa juga isu gaji dan elaun doktor on-call.

JANGAN PADAM MYSEJAHTERA

Bagaimana dengan aplikasi MySejahtera yang tidak digunakan lagi dan didakwa wujud isu kebocoran data?
MySejahtera akan diperluaskan penggunaannya, saya boleh kata aplikasi ini adalah superapp yang banyak membantu, dari sudut pemilikannya kita sudah perhalusi, saya belum boleh umumkan tetapi kita akan bawa kepada jemaah menteri untuk kelulusan.

Ia termasuk isu kebocoran data. Jangan padam lagi aplikasi itu kerana setakat sekarang sudah ada 18 modul dimasukkan dalam MySejahtera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×