Petugas kesihatan rayu kontrak disambung

Petugas kesihatan rayu kontrak disambung

Petugas kesihatan yang diambil khas ketika pandemik Covid-19 melanda negara kini berhadapan masa depan tidak menentu apabila ramai ditamatkan kontrak mereka. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib 1,271 petugas kesihatan dan perubatan kontrak yang dilantik sewaktu negara dilanda pandemik Covid-19 kini diibarat ‘habis manis sepah dibuang’ apabila perkhidmatan mereka tidak lagi diperlukan setelah ditamatkan secara berperingkat sejak awal tahun ini.

Kumpulan pekerja terlibat dalam satu kenyataan memaklumkan, pada awal 2021 semasa negara dilanda pandemik Covid-19, kerajaan melantik petugas kesihatan dan perubatan secara kontrak daripada kolej swasta bertujuan menyokong perkhidmatan kesihatan yang ketika itu hampir lumpuh.

“Namun setelah wabak tersebut mulai reda, khidmat petugas kesihatan dan perubatan kontrak ini tidak lagi diperlukan. Khidmat kami mula ditamatkan berperingkat dengan seramai 1,271 orang petugas telah ditamatkan bermula dari awal tahun 2023 sehingga kini dan 1,889 orang pegawai akan berhadapan nasib sama bermula Jun ini,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, kumpulan tersebut melancarkan satu petisyen digerakkan oleh empat profesion terlibat iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan dan Juruxray dan berjaya mengumpul 10,100 tandatangan dengan kebanyakan daripadanya adalah pekerja kesihatan sektor awam sendiri.

Mereka menjelaskan, solidariti tersebut bertujuan memohon agar kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan memberi jaminan penyambungan kontrak pada kadar segera seperti lantikan kontrak tajaan dan mohon dipertimbangkan lantikan tetap pada masa akan datang.

Kumpulan itu memaklumkan akan menghantar petisyen dan memorandum kepada Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa di Putrajaya dalam masa terdekat selepas sidang Parlimen.

Antara bidang tugas setiap empat profesion terlibat adalah menyelia, menghantar laporan mengenai aktiviti seperti pemeriksaan, penyiasatan dan pengawasan penyakit berjangkit di samping mendiagnosis dan merawat penyakit ringan dan memberi rawatan awal bagi semua kes kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×