19 IPTA laksana belajar hibrid, anjal sesi 2023/2024

19 IPTA laksana belajar hibrid, anjal sesi 2023/2024

MOHAMAD Khaled Nordin (dua dari kanan) beramah mesra dengan pengunjung ketika mengadakan lawatan ke tapak pameran sempena majlis penutupan ‘Jom Masuk U’ di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan perkenalkan sistem pembelajaran secara hibrid dan ajal untuk mahasiswa sebagai satu inisiatif membantu kumpulan itu daripada terus terbeban dengan kos pengajian, selain memberi mereka ruang yang fleksibel.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal itu akan membolehkan para pelajar menghadiri kuliah di universiti hanya pada tahun pertama dan tahun akhir, bagi pertengahan pengajian pelajar diberi pilihan menentukan sendiri.

Menurut beliau, sebanyak 95 program ijazah sarjana muda daripada 19 universiti awam bersedia melaksanakan pembelajaran anjal bermula dengan kemasukan sesi akademik bagi 2023/2024.

“Maksudnya, mahasiswa boleh menghadiri kuliah secara dalam talian sahaja. Melalui, inisiatif ini, mereka boleh menyusun aktiviti dengan lebih fleksibel.

“Ia juga akan memberi beberapa kelebihan seperti dapat mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pendidikan, membuka ruang untuk mahasiswa bekerja atau melakukan perkara-perkara yang memerlukan mereka untuk tidak berada di kampus,” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan ‘Jom Masuk U’ di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya (UM), di sini semalam.

Setakat ini program ‘Jom Masuk U’ mendapat penyertaan lebih 50,000 sejak ia dianjurkan dan dijangka mencapai sasaran sebanyak 60,000 pada hari terakhirnya.

Sebelum ini, Mingguan Malaysia melaporkan, kos bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat tinggi boleh mencecah antara RM50,000 hingga RM78,000 bagi setiap orang.

Jumlah itu meliputi purata kos yuran, penginapan, belanja harian dan kelengkapan diri selama tiga hingga empat tahun pengajian di peringkat sarjana muda sama ada bidang sastera mahupun sains.

Purata perbelanjaan yuran dan penginapan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) berjumlah antara RM1,500 ke RM2,500 bagi setiap semester, manakala antara RM40,000 ke RM60,000 bagi keseluruhan yuran di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Mohamed Khaled berkata, dalam usaha membantu para pelajar yang kini berdepan dengan kos pengajian, KPT juga akan memendekkan tempoh pengajian bagi sesetengah program daripada empat tahun kepada hanya tiga tahun sahaja.

Jelasnya, setakat ini sudah sebanyak 44 program pengajian dari sembilan IPT sudah dikenal pasti untuk dipendekkan tempoh pengajiannya.

“KPT sentiasa mengemas kini program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara. Kita mahu program dan jurusan tersebut disusun dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.

“Pendekkan tempoh pembelajaran ini akan boleh mengurangkan jumlah pinjaman dan kos pengajian yang perlu ditanggung. Pada masa sama, ia membuka peluang untuk graduan memasuki pasaran kerja setahun lebih awal,” katanya.

Tambahnya, inisiatif-inisiatif tersebut juga dijangka mampu menarik minat untuk lepasan SPM melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×