Satu hingga dua tahun tukar wajah gerai - PM

Satu hingga dua tahun tukar wajah gerai – PM

ANWAR Ibrahim menyantuni peniaga di D’Anjung Selera Madani, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kuala Lumpur, ibu negeri serta pekan utama menyediakan kemudahan gerai dan warung yang mengutamakan kebersihan serta menyediakan fasiliti indah mesra rakyat dalam tempoh satu hingga dua tahun ini.

Anwar berkata, beliau berharap harapan itu direalisasikan dengan kerjasama merentas kementerian, jabatan dan pejabat daerah yang mempunyai bidang kuasa berlainan.

“Di Kuala Lumpur, mesti ada puluhan projek untuk penjaja untuk menampung jumlah penduduk yang kategori rendah ini, lebih ramai. Saya hendak dalam satu dua tahun ini, kita tukar wajah Kuala Lumpur, bila kita tengok gerai dan warung haruslah indah dan bersih. Ini tidak boleh berlaku khas di Kuala Lumpur, saya berbincang juga dengan menteri besar dan ketua menteri lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada warung, gerai dan pusat-pusat perniagaan kecil tetapi tidak sepadan. Berbilion ringgit dibelanjakan untuk projek besar, tetapi tempat kecil untuk menjamin tempat perniagaan yang selesa tidak ada. Kita bukan hendak bina mahligai, saya beritahu datuk bandar, bersih adalah keutamaan, kemudahan asas perlu ada dan biarlah tempat itu indah dan selesa

“Saya berunding dengan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bahawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga mempunyai dasar yang sama supaya pembangunan itu termasuk perumahan rakyat dan gerai-gerai di seluruh negara. Ini melibatkan kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan atau Jabatan Parit, semua harus ada perubahan minda.

“Saya tidak mahu Madani hanya menjadi slogan kosong. Orang kena tahu apabila ada Madani, ada sikap ihsan iaitu kasih sayang. Manusia ini bukan sahaja melihat harta atau pangkat, tetapi dia lihat nilai kemanusiaan. Harus adil untuk menjamin ruang yang saksama kepada semua,” katanya di sini, semalam.

Anwar hadir bersama isteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merasmikan medan selera D’Anjung Selera Madani di Bandar Tun Razak di sini yang telah dibangunkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, budaya mengambil komisen serta rasuah harus dihentikan supaya kerajaan dapat menyempurnakan amanah kepada rakyat dengan menawarkan fasiliti dan kemudahan yang terbaik.

“Ada ramai penguatkuasa yang baik tetapi ada juga saya dapat laporan kurang baik. Jadi ini peringatan saya, kalau Tun dan Tan Sri pun saya melawan, inikan pula cicak mengkarung. Jangan kira komisen, jangan kira keuntungan ambil wang haram dan jangan kira rasuah. Ini nak bagi lesen kepada peniaga juga, ada yang mahu komisen dulu. Kalau ada berlaku perkara itu, lapor pada saya.

“Ada pemimpin-pemimpin besar dahulu kata apalah Anwar ini, asyik hendak tangkap orang rasuah sahaja, jagalah negara, jagalah ekonomi. Habis itu, kamu sakau berjuta, berbilion, aku harus lupakan? Kalau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tengok polis tepi jalan ambil rasuah RM50, ditangkap tetapi kalau di atas ini ambil RM50 juta, tidak mengapa.

“Ini negara apa? Negara lanun? Sebab itu saya katakan, kita perlu mula di atas. Itu sebab sebenarnya, kepala-kepala ini berpakat. Arahan saya, ambil tindakan terutama yang besar-besar. Yang bawah itu, kita beri amaran. Biar dia tengok dengan yang Tun atau Tan Sri pun kita berani lawan, yang bawah biar perangai elok sikit,” tegasnya.

Dalam majlis yang sama Perdana Menteri turut mengumumkan bayaran lesen perniagaan RM400 untuk setiap peniaga di D’Anjung Selera Madani dikurangkan sehingga RM200 bermatlamat mengurangkan beban penjaja di kawasan berkenaan.

Para penjaja di situ akan menikmati potongan bayaran 50 peratus dengan syarat mereka tidak culas membayar bayaran itu mengikut masa yang ditetapkan DBKL.

Menurut Anwar, beliau memberi kuasa kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh untuk membatal dan menarik semula lesen para penjaja yang tidak membayar lesen berkenaan tanpa alasan yang munasabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini