MEKAH: Seorang pesara guru bahasa Melayu dan Matematik menjadikan Tanah Suci sebagai tempat dia menyambut Aidilfitri saban tahun apabila menunaikan umrah bersama ahli keluarganya pada hujung Ramadan hingga awal Syawal.
Yusoff Mohamad @ Abdul Samad, 89, dari Pulai Chondong, Machang, Kelantan berkata, walaupun begitu, dia lebih teruja apabila dipilih untuk menunaikan haji tahun ini selepas begitu lama menunggu gilirannya untuk melaksanakan Rukun Islam kelima itu.
Kata pesara guru Sekolah Rendah Hamzah, Machang itu, dia telah membuat simpanan haji dalam tempoh yang panjang dan bagaikan tidak percaya apabila dapat menggunakannya pada tahun ini.
“Saya dan isteri, Saedah Shamsudin, 87, mendapat tahu dipilih selepas membaca khidmat pesanan ringkas yang dihantar oleh Tabung Haji kepada telefon salah seorang anak kami.
“Ketika itu saya rasa sangat seronok dan mula pergi kursus haji selain membeli peralatan untuk membuat persiapan sebelum berangkat ke Tanah Suci dua minggu lalu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Yusoff, TH membenarkannya untuk membawa pengiring dan dia memilih tiga anak perempuannya berusia 43 dan 60 tahun untuk menemani mereka mengerjakan haji.
Tambahnya, walaupun sudah berusia tetapi pengalaman menunaikan umrah setiap tahun membuatkannya nekad untuk berangkat kerana terlalu merindukan Mekah dan Madinah.
“Saya akan pergi Mekah pada penghujung Ramadan sehingga awal Syawal bagi meraikan Aidilfitri sejak beberapa tahun lalu bersama anak-anak. Selepas itu, baru saya akan pulang ke kampung untuk menyambutnya pula bersama ahli keluarga,” katanya.
Ujar Yusoff, dia tidak mempunyai rahsia masih bertenaga dan sihat tetapi hanya mengamalkan meminum air suam. Sesekali dia meneguk air manis jika melayan tetamu atau rakan yang bertandang ke rumahnya selain jika diajak ke kedai.
“Pertama kali saya datang ke sini ialah pada tahun 1981. Ketika itu saya dapat merasa suasana lama di sekitar Masjidilharam di mana boleh mandi di telaga zamzam dan melihat rumah kecil yang dikatakan kediaman Nabi SAW berwarna hijau,” katanya.
Menurut Yusoff, jika di kampung, dia akan memandu sendiri kereta Proton Iriz untuk ke Masjid Ar-Rahman yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya di Taman Shamsudin.
“Pesanan saya kepada mereka yang mendapat panggilan haji supaya jangan tolak dan berusaha mencari wang untuk pergi kerana kita tak tahu sama ada sempat ke sini atau tidak bagi menunaikan haji,” katanya yang mempunyai 25 cucu dan enam cicit. -UTUSAN











