PETALING JAYA: Kos tanah dan kos pematuhan terhadap peraturan membina projek perumahan yang sangat mahal mengekang pemaju terutamanya pemaju swasta menyediakan kediaman mampu milik di negara ini.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Perunding Hartanah Muslim Malaysia, Ishak Ismail berkata, dua komponen itu menyumbang selain peningkatan kos bahan binaan import yang terganggu akibat penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Oleh itu, katanya, pemaju tidak mampu menanggung kos yang meningkat itu sekali gus menjadikan idea rumah mampu milik seolah-olah tidak dapat memberikan keuntungan.
“Jadi, kita kena bersikap adil, di samping mahu pengguna mendapatkan rumah mampu milik, kita juga ingin menggalakkan pemaju terutamanya swasta menyumbang penambahan rumah mampu milik.
“Pada saya, kerajaan perlu menimbangkan beberapa kaedah untuk membantu pihak pemaju. Pertama, kerajaan perlu mengenal pasti tanah-tanah kerajaan terbiar yang tidak dibangaunkan untuk dirujuk sebagai tapak perumahan mampu milik, jadi penjimatan kos tanag murah itu boleh dikembalikan kepada pembeli.
“Kedua, kos pematuhan perlu diselaraskan semua negeri yang mana negeri di Malaysia berbeza-beza dari segi kosnya terutamanya dari segi tempoh kelulusan, kos ubah syarat, kos kepada sumbangan pemparitan dan utiliti.
“Memang kerajaan negeri pun mahu buat penambahan hasil (dari mana-mana projek perumahan), tetapi, mereka tidak perlu mengambil keuntungan terhadap projek rumah mampu milik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneliti semula perkara berkenaan memandangkan syarat membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan tidak mengikut jadual dan skala yang ditetapkan.
Kerajaan mewajibkan pemaju perumahan swasta untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus rumah mampu milik dalam projek perumahan mega sejak 1981.
Mengulas lanjut, Ishak berkata, kerajaan juga perlu melihat semula objektif syarikat pembangunan milik kerajaan yang membekalkan rumah mampu milik supaya tidak lari daripada tujuan asal penubuhan mereka.
“Penyediaan rumah mampu milik adalah agenda sosial, jadi, ia tanggungjawab kerajaan dan bukan pemaju swasta. Oleh itu, paling sesuai menggunakan struktur sedia ada daripada pihak kerajaan untuk memenuhi agenda itu.
“Tetapi, sering kali syarikat ini pun lupa tujuan mereka ditubuhkan. Misalnya UDA (UDA Holdings Berhad) untuk membangunkan tanah berdekatan kawasan bandar dan menyediakan rumah pada penduduk yang tidak berkemampuan, tetapi, sekarang lihat agenda UDA lebih kepada membangunkan rumah berkelas tinggi.” katanya.
Beliau menambah, agensi dan syarikat perumahan milik kerajaan juga sepatutnya disepadukan bagi mengelakkan persaingan sesama mereka.











