PETALING JAYA: Kira-kira 30 peratus bangunan strata bertingkat di seluruh negara didakwa tidak diaudit keselamatannya secara menyeluruh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Inspektor dan Penyelia Kejuruteraan (MEInSA), Wan Hishamrudin Wan Ahmad Kasbi berkata, kebanyakan bangunan dengan strata bertingkat di negara ini merupakan bangunan yang sudah dibina lebih 10 tahun.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan pihaknya mendapai kualiti bangunan-bangunan selepas lima hingga 10 tahun dibina agak teruk dan memerlukan pemeriksaan berkala bagi mengenal pasti kerosakan.
“Dalam konteks bangunan di Malaysia yang tidak diaudit keselamatannya, kalau diikutkan, ada banyak. Saya boleh katakan dalam kira-kira 30 peratus daripada seluruh bangunan bertingkat di negara ini.
“Sebab kebanyakan bangunan sudah lebih 10 tahun, jadi biasanya mengikut undang-undang, bangunan lebih 10 tahun ini harus dibuat pemeriksaan semula,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Hishamrudin berkata, isu timbul apabila terdapat pemilik bangunan enggan membuat pemeriksaan berkala, mendorong kesukaran mengesan kerosakan struktur bangunan.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ada kuasa mengarahkan pemilik (bangunan) untuk buat pemeriksaan, tapi kadang-kadang mereka tak mahu buat. Maka, benda itu terlepas pandang.
“Tapi berdasarkan maklumat pihak kami, macam saya sendiri ada juga memeriksa beberapa bangunan di Kuala Lumpur, memang kebanyakannya kualiti bangunan itu selepas lima ke 10 tahun memang agak teruk,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, bumbung Dewan Besar Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM) runtuh menyebabkan lima petugasnya cedera.
Mengulas lanjut, Wan Hishamrudin berkata faktor keruntuhan bumbung atau mana-mana bahagian bangunan disebabkan struktur sesebuah bangunan yang berpunca akibat pemeriksaan yang tidak teliti.
“Faktor lain mungkin disebabkan bahan binaan yang digunakan serta workmanship. Mungkin kerana bahan binaan itu kurang berkualiti atau tidak mengikut prosedur (pembinaan) yag betul.
“Pada masa sama, mungkin juga didorong oleh penyelia yang menyelia sesuatu bangunan itu tidak menyelia dengan betul,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, dua faktor mengakibatkan keruntuhan bumbung sesebuah bangunan termasuk kualiti kerja pembinaan serta faktor semulajadi yang tidak dapat dielak. – UTUSAN










