Jemaah haji beruntung disantuni TH

Jemaah haji beruntung disantuni TH

PENGURUSAN yang sistematik menjamin semua jemaah haji Malaysia dapat fokus kepada ibadah mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Melihat sendiri kegigihan Tabung Haji (TH) melaksanakan operasi haji di Tanah Suci berjalan lancar membuatkan saya kagum.

Sebelum ini, saya hanya mendengar cerita-cerita yang disampaikan dan hanya membaca melalui laporan rakan-rakan yang mendapat peluang membuat liputan di situ.

Ada kalanya, saya mengambil sikap acuh tak acuh sahaja ke­rana ia tidak mempunyai kaitan kerana tiada ahli keluarga yang menunaikan haji. Tetapi apabila sudah menjadi sebahagian ahli keluarga TH sejak 14 Mei lalu, persepsi itu telah berubah.

PENGALAMAN

Beruntungnya jemaah haji Malaysia mendapat satu agensi yang mempunyai segala kepakaran dan pengalaman untuk menguruskan mereka di sini.

Bukan seorang dua tetapi 31,600 orang yang perlu disantuni dan diuruskan. Ia sudah tentu suatu pekerjaan yang begitu mencabar kerana berdepan dengan kerenah manusia.

Dapat tinggal di hotel empat bintang ke atas, diberi makan dan fasiliti yang cukup serta pengangkutan yang baik merupakan satu nikmat yang perlu disyukuri.

Jika berjalan kaki dari hotel ke Masjidilharam yang terletak 750 meter, saya dapat lihat ada segelintir manusia yang tinggal di bawah jambatan dan tidur di atas jalan beralaskan karpet lusuh dan kain nipis untuk tidur.

Tidak cukup dengan itu, me­reka membawa pula air zamzam yang diisi di dalam botol lima liter sebelum diletakkan di atas kepala atau dijinjit dari Masjidilharam ke tempat penginapan masing-masing.

Sudahlah berat, jauh pula hendak berjalan. Tetapi mereka kekal cekal.

Itu tidak berlaku kepada jemaah haji Malaysia. Apa yang dikatakan oleh TH mengenai kebajikan dan keselamatan benar-benar dipraktikkan.

SIAP SIAGA

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman yang telah pun berada di Tanah Suci sejak minggu lalu berkali-kali memperkatakan men­genai kesiapsiagaan pasukan untuk memastikan kelancaran operasi.

Ia dibuktikan apabila setiap ketua operasi maktab, pengurusan, perubatan, pembimbing ibadat dan sajian makanan me­lakukan tugas mereka dengan cekap dan teratur.

Ada antara petugas yang terpaksa melupakan katil dan selimut mereka demi menyantuni dhuyufurrahman terutama ketika membimbing mereka me­lakukan umrah.

Satu demi satu kumpulan jemaah yang masuk ke Mekah disantuni dan diberikan per­khid­matan sama rata. Tidak ke­terlaluan jika dikatakan kebajikan yang mereka kecapi seolah-olah berada di Malaysia.

Pusat khidmat pelanggan yang diwujudkan untuk mene­rima aduan turut membuat perubahan dengan mengkategorikan masalah jemaah kepada lima jenis supaya ia lebih tersusun dan tidak bertindan.

Apa yang pasti, kesediaan petugas TH kini berada pada tahap maksimum dan ia akan le­bih teruji apabila operasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah bakal menjelma pada akhir Jun nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×