MUKADIMAH
UMNO dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 26 Mei lalu bersetuju untuk menerima kembali bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, TAN SRI MOHD. ISA ABDUL SAMAD sebagai ahli.
Beliau pada 2018 mengumumkan keluar dari UMNO atas alasan mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson memandangkan UMNO pada ketika itu tidak meletakkan calon.
Bagaimanapun, ketika UMNO dilihat lemah selepas menghadapi kekalahan pada pilihan raya umum lalu ditambah pelbagai isu dalaman dan kepimpinan, Mohd. Isa pula memilih untuk kembali menabur bakti kepada parti yang telah disertainya sejak 1972 itu.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun itu menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusan dibuatnya.
UTUSAN: Apa mendorong Tan Sri untuk kembali menjadi ahli UMNO?
MOHD. ISA: Saya tidak pernah menentang UMNO. Saya berhenti jadi ahli ketika PRK Parlimen Port Dickson, Bagaimanapun, selepas itu saya terus memainkan peranan membantu UMNO termasuk pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Johor. Saya pernah digantung oleh UMNO pada 2005, juga menghadapi perbicaraan di mahkamah, apabila dikenakan tindakan, pastinya akan kecewa dan marah tetapi pada masa sama, kita mesti rasional.
Ya, benar, UMNO buat (tindakan) kepada saya, tetapi pada masa sama, saya juga fikir banyak juga jasa UMNO kepada saya. Jadi, saya kenang perkara itu. Kalau bukan kerana UMNO, siapalah saya? Mungkin seorang guru siswazah dengan jawatan tertinggi, mungkin Ketua Pengarah Pelajaran.
Tetapi dengan UMNO saya dapat jadi wakil rakyat, saya antara ahli UMNO yang bernasib baik. Ada orang UMNO sampai sekarang tidak dapat jadi calon. Kemudian jadi Menteri Besar selama 22 tahun. Tidak sempat jadi guru besar tetapi jadi menteri besar.
Ketika ramai keluar dari UMNO, Tan Sri pula sebaliknya, mengapa?
Saya mahu bantu parti terutama di Negeri Sembilan dalam menghadapi PRN. Kalau ada kesempatan dan dijemput ke negeri-negeri lain, saya juga mahu bantu. Saya mahu UMNO menang. Yang keluar, digantung dan dipecat dari UMNO, saya tahu mereka marah dikenakan tindakan, marah kepada Presiden. Saya juga marah kepada Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya ketika itu naib presiden nombor satu. Tetapi bagi saya, akhirnya kita tetap pilih UMNO.
Nasihat saya kepada mereka, kalau rasa sangat kecewa, katakanlah pada diri, ini semua adalah takdir, memang sudah tertulis, itulah yang perlu dilalui dalam perjalanan hidup mereka. Itu cara paling baik untuk menyejukkan hati dan mengubat hati yang kecewa.
Adakah bekas pemimpin UMNO ini akhirnya nanti kembali kepada parti?
Sebaik-baiknya mereka kembali. Kalau digantung atau dipecat, kita boleh rayu tetapi kita kenalah berkelakuan baik, tentulah parti akan pertimbang, itu normal. Saya percaya mereka ini jarang untuk pergi ke parti lain, itupun kalau mereka kenangkan UMNO.
Mereka boleh rayu, sampai waktunya mereka rayu dan saya pun dulu kena enam tahun (digantung). Rayu, dapat tiga tahun. Kalau saya rajin merayu, saya pun boleh dapat lebih awal.
Adakah UMNO boleh bangkit untuk menarik sokongan orang Melayu?
Politik ini tidak kekal, memang ada jatuh bangun, asalkan semangat juang kita tidak pudar, dari kepemimpinan tertinggi sehingga ke akar umbi. Ada yang kata, apabila sudah kalah, ia penghabisan buat UMNO. Bagi saya, apa yang habis? Bukan senang untuk bubarkan UMNO. Parti ini akan terus ada tetapi semangat juangnya harus berterusan. Politik ini dinamik, ada kalah, ada menang.
UMNO kalah macam sekarang tetapi siapa sangka, ini semua kerja Tuhan. Jumlah 30 kerusi boleh jadi timbalan perdana menteri. Semua kata ada kepentingan tetapi 30 kerusi ini membantu kestabilan negara untuk membentuk sebuah kerajaan.
Cuba kita bayangkan UMNO berkeras seperti Perikatan Nasional, apa akan terjadi kepada negara? Tambahan pula itu merupakan titah Yang di-Pertuan Agong dan UMNO memang parti yang mempertahankan kedaulatan dan kedudukan raja-raja Melayu, bagaimana kalau UMNO tolak?
Ahli di peringkat akar umbi dikatakan sukar untuk menerima kerjasama UMNO dengan DAP?
Tidak mengapa kita bersama Pakatan Harapan (PH). Isu dengan DAP itu biasalah. Kita (UMNO) juga dahulu kata macam-macam pada DAP, saya pun sama. Tetapi sebab kita pentingkan negara untuk mewujudkan kerajaan yang stabil dengan titah Yang di-Pertuan Agong, kita junjung dan patuh, okeylah.
Apabila kita mahu berbaik dan musuh juga mahu berbaik, kita jangan fikir waktu semasa kita bergaduh, kita kena pandang ke hadapan. Mereka (DAP) juga kena hadapi rasa marah ahlinya kepada UMNO, serupalah, bukan kita sahaja. Ia mengambil masa, biasalah dalam masa mahu berbaik memang akan ada yang tersinggung sedikit.
Di bawah ini saya tidak risau sangat kalau bergaduh cuma di atas ini, pemimpin-pemimpin ini mereka kena mempunyai persefahaman. Kalau di bawah ada pergeseran, mereka boleh tegur.
Adakah Tan Sri akan membantu memberikan penerangan kepada ahli UMNO dalam isu hubungan dengan DAP?
Saya kini cuma membantu Datuk Jalal (Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias) untuk UMNO dan kerajaan perpaduan menang di Negeri Sembilan, insya-Allah. Ini memang satu tugas untuk memberikan pemahaman kepada orang Melayu khususnya orang UMNO.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan saya difahamkan telah memulakan, selepas ini mereka akan pergi ke setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), dalam ceramah-ceramah mereka akan terangkan.
Kita buat penerangan dan buktikan, kalau orang masih tidak boleh terima apa boleh kita buat. Saya yakin cuma masa kita terhad, jangkaan PRN akan dilaksanakan pada Ogos, kini hanya ada dua bulan, UMNO perlu all out.
Adakah gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) akan dapat menubuhkan kerajaan di Negeri Sembilan?
Insya-Allah, kita yakin akan tubuhkan kerajaan negeri berdasarkan perkiraan. Dan pandangan saya, daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), minimum 19 kerusi boleh diperoleh, saya rasa boleh dapat lebih lagi. – UTUSAN










