LHDN kutip RM153.4 bilion cukai bersih

LHDN kutip RM153.4 bilion cukai bersih

KEJAYAAN Lembaga Hasil Dalam Negeri mengurangkan jumlah cukai tertunggak sejak lima tahun lalu wajar dipuji.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah RM153.4 bilion cukai bersih berjaya di­kutip Lembaga Hasil Dalam Ne­geri (LHDN) iaitu yang ter­ting­gi dalam tempoh lima tahun.

Masih terda­pat sejumlah RM24.69 bilion amaun tunggakan cukai yang be­lum dilunaskan pembayar cu­kai.

Bagaimanapun, jumlah itu menurun buat pertama kali selepas mencatatkan peningkatan setiap tahun sejak 2018.

Pada tahun 2018, amaun tunggakan cukai adalah RM19.82bilion dengan cukai bersih berjaya dikutip berjumlah RM130 bilion manakala pada 2019, nilai cukai tertunggak adalah RM26.6 bilion selepas RM134.7 bilion cukai bersih berjaya dikutip.

Pada 2020, nilai cukai tertunggak meningkat kepada RM36.49 bilion (32 peratus daripada RM112.5 bilion pungutan bersih) dan pada 2021, amaun tunggakan cukai direkodkan sebanyak RM43.69 bilion (33 peratus) berbanding pungutan cukai bersih berjumlah RM130.1 bilion.

Nilai pungutan cukai bersih ialah amaun kutipan cukai selepas tolakan amaun Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur berkata, berdasarkan kepada Rangka Kerja Pungutan Cukai 2021, LHDN boleh bertindak ke atas mereka yang mempunyai tunggakan cukai.

“Antaranya ialah Arahan Potongan Gaji (CP38), kaveat, pelantikan ejen, tindakan pemungutan kepada penga­rah syarikat dan tindakan mahkamah atau guaman sivil,” katanya di sini semalam.

SEKATAN

Menurut Ranjeet, sekiranya masih gagal, tindakan sekatan perjalanan boleh diambil bagi mengelak mereka meninggalkan atau keluar dari Malaysia tanpa membayar cukai.

“Ini meliputi pembayar cukai individu warganegara Malaysia dan warganegara asing atau pengarah bagi syarikat yang mempunyai tunggakan cukai,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pe­nguatkuasaan pungutan merupakan satu bentuk keadilan kepada pembayar cukai yang patuh menjalankan kewajipan mereka kepada negara.

Sementara itu, Ranjeet turut memaklumkan, LHDN berjaya memungut cukai tambahan daripada hasil pendapatan yang tidak dilaporkan bagi akaun luar negara berjumlah RM349.5 juta untuk tempoh tiga tahun sejak 2019 melalui 4,267 kes yang diselesaikan.

Katanya, sejumlah 2.45 juta bilangan akaun individu Malaysia di luar negara direkodkan setakat tahun lalu yang dikenal pasti LHDN melalui pertukaran maklumat secara automatik, Common Repor­ting Standard (CRS) berkaitan akaun kewangan warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan warganegara asing yang berada di Malaysia.

“Malaysia menyertai Global Forum pada tahun 2009 dan bertukar maklumat CRS dengan lebih daripada 100 negara,” katanya.

Maklumat CRS bersama-sama maklumat dalaman LHDN digunakan untuk tujuan analisa risiko bagi mengenal pasti kes-kes yang mempunyai risiko pengelakan cukai untuk tindakan audit seterusnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×