458,000 lepasan SPM tidak sambung belajar sejak 2020

458,000 lepasan SPM tidak sambung belajar sejak 2020

KEPUTUSAN kurang cemerlang dan tidak mendapat kursus yang dimohon, selain terpengaruh dengan media sosial antara punca ramai lepasan SPM tidak menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:­ Dianggarkan le­­bih 458,000 lepasan Sijil Pe­lajaran Malaysia (SPM) tidak me­nyam­bung pengajian ke peringkat le­­bih tinggi dalam tempoh tiga tahun sejak 2020 sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan belia negara ini.

Statistik menunjukkan 35.16 peratus atau 115,939 orang le­pasan SPM 2020 dan 48.74 peratus atau 180,680 lepasan peperiksaan 2021 itu tidak me­lanjutkan pelajaran.

Jika keadaan tersebut berte­ru­san, dijangkakan sekitar 40 pe­ratus atau kira-kira 116,454 orang daripada keseluruhan 403,637 calon SPM 2022 yang keputusannya bakal diumumkan pada 8 Jun ini, turut akan mengambil langkah serupa.

DATA

Angka itu boleh mencecah 848,073 orang jika data Jabatan Perangkaan pada 2019 yang men­dapati kira-kira 390,000 atau 72.1 peratus SPM tidak ma­hu menyambung pelajaran diambil kira.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, trend le­pasan SPM tidak menyambung pelajaran sangat meri­saukan.

Katanya, semakin ramai anak muda memilih untuk terus bekerja selepas mereka melihat tiada perbezaan ketara dari segi pendapatan antara mereka yang ada sijil pendidikan lebih tinggi berbanding lepasan SPM.

“Malah ada sesetengah pekerjaan ketika ini seperti e-hailing ataupun content creator (pencipta kandungan) mampu menjana pendapatan lebih tinggi daripada mereka yang berpendidikan tinggi.

“Ini menyebabkan ada persepsi tidak perlu belajar tinggi. Mentaliti ini kalau tidak ditukar sangat merugikan. Ne­gara memerlukan pekerja terlatih yang ramai untuk negara mencapai negara maju,’’ katanya.

Berdasarkan jawapan lisan Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat minggu lalu, berdasarkan data sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM), sebanyak 296,619 lepasan SPM 2020 dan 2021 tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

PERSEPSI

Justeru, kata Mohd. Izzat Afifi, persepsi anak muda itu perlu diubah supaya mereka melihat pendidikan tinggi bukan semata-mata untuk mendapat­kan pekerjaan dan gaji lumayan tetapi ia adalah jambatan untuk mengubah kehidupan seseorang.

“Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diperkasa supaya mereka yang tidak minat dalam bidang akademik boleh memilih bidang kemahiran.

“Pendidikan sepanjang hayat juga perlu diperkasakan supaya belia yang sudah bekerja tapi masih berhasrat untuk sambung belajar boleh menyambung pelajaran untuk meningkatkan taraf akademi dan taraf kehidupan mereka,” jelasnya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, kerajaan perlu melakukan satu kajian empirikal untuk mengetahui faktor lepasan SPM tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, peluang terhad ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan gagal mendapat bidang pengajian yang dimohon perlu diambil kira sebagai antara faktor lepasan SPM enggan menyambung pengajian.

Menurut Fouzi, daripada kajian empirikal itu kelak, kerajaan boleh mengambil tindakan sewajarnya dan tiada pihak yang boleh berpeluk tubuh dan membiarkan masalah itu daripada berterusan berlaku.

“Usaha ini perlu melibatkan semua pihak bukan sahaja kerajaan, tetapi ibu bapa sendiri yang wajar memainkan untuk galakkan masuk ke IPT,” katanya.

Ketika ditanya keperluan mewajibkan pendidikan tinggi, Fouzi menjelaskan, perkara itu dilihat tidak sesuai dilakukan memandangkan bukan semua calon SPM memperoleh keputusan yang baik.

“Ia tidak sama dengan seperti mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka sehingga peringkat sekolah menengah kerana perkara ini tidak memerlukan keperluan akademik berbanding IPT yang melihat kepada pencapaian peperiksaan,” katanya.

Bagi bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula berkata, kempen dan galakan masuk ke institusi pengajian tinggi perlu diperhebatkan dengan pihak IPT turun padang memberi penerangan berhubung bidang pengajian yang ditawarkan.

Katanya, ramai pelajar tingkatan lima tidak mendapat pendedahan secukupnya se­perti hala tuju selepas tamat sekolah menengah kelak dan tawaran biasiswa dan pembiayaan pendidikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×