Johor Bahru 'syurga' warga Singapura

Johor Bahru ‘syurga’ warga Singapura

WARGA Singapura sering membanjiri pusat beli-belah di Johor Bahru kerana menawarkan harga jauh lebih murah apatah lagi kejatuhan nilai ringgit memberi kuasa beli yang semakin meningkat kepada mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kejatuhan nilai ringgit berbanding mata wang negara jiran menjadikan bandar raya ini sebagai ‘syurga’ kepada rakyat Singapura untuk berbelanja terutama membeli barang keperluan harian.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa premis perniagaan di sekitar bandar raya ini mendapati, hampir separuh daripada pengunjung adalah warga asing dengan majoritinya dari Singapura.

Seorang warga Singapura, Yeo Yuk Chye, 57, mengakui kerap berkunjung ke bandar raya ini bersama-sama keluarganya untuk berbelanja, terutama pada hujung minggu atau hari cuti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Johor Bahru menawarkan pelbagai barangan seperti makanan, pakaian dan perkhidmatan seperti spa serta rekreasi. Semua ini boleh didapati pada harga jauh lebih rendah berbanding di Singapura.

“Saya sekeluarga memang kerap datang berbelanja di sini, kadangkala datang seorang sahaja dan beli pelbagai barangan untuk keluarga. Baju atau makanan semua boleh dapat murah-murah,” katanya yang menetap di Bukit Panjang.

Sementara itu, S. Devan, 35, berkata dia sering datang berbelanja di bandar raya ini bersama-sama rakan-rakan khususnya selepas tamat waktu bekerja.

“Kebiasaannya kami datang lepak untuk makan-makan dan berhibur,” katanya yang merupakan seorang juruteknik di sebuah kilang di Singapura.

Seorang lagi warga Singapura, Ibrahim Baharum, 67, turut mengakui amat berbaloi bagi mereka sekeluarga membeli-belah di Johor Bahru berbanding di Singapura.

“Selain faktor tukaran mata wang asing yang menyebabkan harga di sini jauh lebih murah, di Johor Bahru juga semua barang ada dan mudah diperoleh,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×