Kalaulah UAV nasional untuk TUDM...

Kalaulah UAV nasional untuk TUDM…

KERAJAAN perlu ada keazaman tinggi untuk membangunkan semua program UAV nasional yang kini semakin terkubur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lalu, semua mata tertumpu di Pulau Langkawi, Kedah. Dekat seminggu deruman enjin pesawat pejuang dari pelbagai negara bergema di tempat kelahiran Mahsuri itu termasuk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kehebatan dan tahap kesiapsiagaan juruterbang dan krew TUDM memang tidak boleh disangkal, lebih-lebih lagi dalam Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA ’23). Begitu juga kelengkapan aset mereka.

Banyak juga yang sudah kenal apa itu Sukhoi, F/A-18D, Hawk, KA-50 dan A400M serta pelbagai jenis lagi yang menjadi sebutan semasa penganjuran LIMA ’23. Itu belum lagi cerita pasal juruterbang aerobatik Korea Selatan yang turut menjadi tumpuan dalam acara dwitahunan itu.

Bagaimanapun, pada LIMA ’23, masih ada lagi isu yang dilihat tenggelam di sebalik laporan mengenai kontrak, perjanjian persefahaman dan juga pelbagai persembahan sama ada bagi segmen maritim atau aeroangkasa.

Status dan laporan program pesawat tanpa pemandu (UAV) nasional sebagaimana pernah diperkatakan sejak 2000 dan 2007 dahulu, kini bagaikan hilang tanpa dikesan ‘radar.’ Apa yang ada ialah perolehan bagi mendapatkan UAV dari Turkiye, iaitu Anka dan akan dikendalikan TUDM nanti.

Hakikat di sebalik cerita perolehan mengenai UAV di peringkat nasional agak menyedihkan walaupun ada syarikat telah memulakan inisiatif ini sejak lebih 10 tahun dahulu. Tidak diketahui sejauh mana Malaysia dan TUDM khususnya mendapat pakej pemindahan teknologi yang betul-betul memberi manfaat untuk kemampuan pertahanan bagi jangka masa panjang dengan pembelian Anka.

CAMAR, NYAMOK

Kalau dahulu, nama-nama seperti Camar, Nyamok, Aludra Mk1 dilihat sebagai penanda aras permulaan UAV nasional, kini tidak lagi. Justeru, banyak persoalan timbul. Boleh dikatakan semuanya berkisar pada ruang lingkup yang hampir sama apabila menyentuh soal perolehan aset pertahanan.

Soal keuntungan, tanggungjawab dan persaingan antara syarikat tempatan menyumbang kepada kerugian sumber kepakaran teknologi tempatan termasuk membabitkan usaha pembinaan UAV nasional. Itu belum lagi bercakap soal pengguna yang sentiasa mahukan UAV tercanggih, terkini dan terbaik sehingga menjadi perangkap dalam isu perolehan sistem persenjataan.

Kita harus ingat, pembelian semata-mata tidak memberikan kekuatan kepada teknologi pertahanan selamanya. Sistem baharu lambat laun akan menjadi usang juga. Menerusi penghasilan produk dan teknologi baharu oleh pengeluar tempatan sebenarnya dapat mempertingkatkan sistem sedia ada kepada yang lebih berkeupayaan pada masa akan datang.

Kalau dinilai, ada dua pihak yang bertanggungjawab untuk mencapai matlamat dalam pembangunan UAV nasional untuk TUDM. Pertama, kerajaan dan pihak yang membuat dasar selain pengguna perlu memahami bagaimana matlamat ini boleh dicapai dengan berpijak di bumi yang nyata.

Kemudian, pengguna atau TUDM perlu akur bahawa tempoh masa diperlukan pihak industri bagi membolehkan sesuatu sistem atau teknologi untuk matang. Justeru, tepuk dada tanya selera. Kerajaan perlu ada keazaman untuk membangunkan semua UAV nasional yang kini semakin terkubur.

Apalah gunanya Bab 7 Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menyentuh soal sains dan teknologi industri pertahanan kalau perkara ini masih lagi berlegar untuk sekian lama? Kalau tidak, KPP hanya menjadi satu teori cantik dan tepat di atas kertas yang belum tentu dapat diterjemah serta menjadi kebenaran. – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×