PETALING JAYA: Ekonomi negara akan berterusan tidak menentu dan sukar dipulihkan selagi tidak wujud kestabilan akibat persengketaan politik yang berlarutan tanpa ada kesudahan.
Selepas hampir tujuh bulan pilihan raya umum (PRU) berlalu, Malaysia masih bergelut dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Pada masa yang sama prestasi ekonomi belum menunjukkan trend pemulihan sekali gus memberi kesan kepada kedudukan pendapatan di saat hutang negara hampir RM1.5 trilion.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tidak dinafikan ketidaktentuan geopolitik antarabangsa antara salah satu punca kemerosotan ringgit kebelakangan ini, namun percaturan politik dalaman negara telah menambahkan masalah itu.
Katanya, gelagat ahli-ahli politik yang terus bersengketa tanpa memikirkan ‘periuk nasi rakyat’ telah mengheret rakyat ke kancah politik tidak berkesudahan kerana secara tidak langsung menyebabkan ekonomi tidak stabil dan akhirnya mengurangkan pendapatan, sebaliknya menambah hutang negara.
Justeru itu beliau melihat Malaysia amat memerlukan satu usaha damai politik antara blok kerajaan dan pembangkang yang boleh menghentikan mereka daripada bermain politik iaitu antara punca ganggu gugat kestabilan pentadbiran hari ini.
“Semua pemimpin sama ada kerajaan atau pembangkang perlu dilihat bersama untuk membantu pemulihan ekonomi negara dengan bersama-sama memberikan sumbangan idea bagaimana untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan hutang, ini paling penting berbanding terus bersengketa sesama sendiri.
“Jadi usaha damai politik merupakan satu-satunya langkah untuk menghentikan persengketaan ahli-ahli politik dengan menyatukan mereka dalam satu platform sumbangan idea pemulihan ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan ringgit terus jatuh dan mencecah RM4.6 berbanding dolar AS iaitu paras terendah dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Pada pukul 9 pagi kelmarin, mata wang tempatan didagangkan pada 4.6090/6130 berbanding dolar AS sejak penutupan Rabu pada 4.5920/5950, Ringgit terus susut nilai apabila ditutup pada 4.6105/6240 kelmarin.
Dalam pada itu, RHB Research tidak menolak kemungkinan ringgit boleh mencecah RM5 berbanding dolar AS dalam tempoh sederhana.
Dalam laporannya, RHB Research berkata, unjuran tersebut dibuat berikutan sasaran awal jangka pendek ringgit pada 4.60 telah dilepasi semalam, membawa kepada sasaran jangka terdekat yang disemak semula sebanyak 4.70, dengan potensi mencecah paras RM4.75.
Katanya, imbangan risiko bagi unjuran akhir suku kedua pada 4.55 hingga 4.65 kini condong ke arah julat lebih tinggi pada 4.65 hingga 4.75.
Ringgit berbanding dolar Singapura juga jatuh ke paras terendah dalam tempoh 20 tahun apabila dibuka pada 3.4116/3.4170 semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar mana-mana pihak untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada beliau dalam sidang Dewan Rakyat tetapi tiada pihak yang berbuat demikian meskipun Parlimen sudah berlangsung sejak Isnin lalu.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ketidakstabilan politik sudah pasti menjejaskan keyakinan para pelabur untuk datang ke negara ini.
“Kalau kita lihat, pasaran kewangan menunjukkan simptom kurang senang dengan apa yang berlaku di Malaysia, sedangkan negara ini ada banyak perkara yang boleh tawarkan. Aliran keluar masuk pasaran ekuiti juga masih lagi mencatatkan aliran keluar atau satu bacaan negatif yang agak membimbangkan.
“Aliran keluar masuk dalam pasaran saham bagi pelabur asing menunjukkan jualan bersih sebanyak RM2.1 billion bagi tempoh empat bulan pertama iaitu dari Januari hingga April tahun ini berbanding aliran belian bersih sebanyak RM7.3 billion dalam tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Selain situasi dalam negara, beliau berkata, lumrah pasaran mata wang, ia juga akan sentiasa menerima kesan langsung daripada pergolakan ekonomi luar.
Katanya, isu siling hutang kerajaan AS dan kenaikan kadar faedah yang agresif sebelum ini memberi kesan kepada ringgit.
Justeru, katanya, isu-isu ini memerlukan suatu campur tangan berbentuk jangka panjang yang mana strategi dan dasar perlu dirangka secara jelas. – UTUSAN











