ADA kanak-kanak dan remaja sekarang bersikap kurang sopan dan kurang rasa hormat apabila bercakap dengan orang lebih dewasa sama ada ibu bapa, datuk, nenek, saudara mara, guru, pekedai atau orang awam.
Perkara ini kita perhatikan sendiri khususnya sejak negara berdepan pandemik Covid-19 di mana generasi muda kurang peluang bersosial dan berinteraksi dengan orang luar secara bersemuka.
Ramai yang mungkin menganggap sikap biadab sebagai amalan biasa mengikut peredaran masa. Sebenarnya, aspek kesantunan, kesopanan, budi pekerti, rasa hormat, nilai keluarga dan sebagainya terangkum sebagai unsur yang menentukan sikap seseorang.
Baru-baru ini, saya berbincang dengan beberapa rakan tentang punca dan penyumbang kepada situasi generasi muda semakin terhakis nilai komunikasi penuh kesantunan.
Pada pemerhatian dan pandangan Hanusuya Gunasegran, seorang guru dari Seremban, Negeri Sembilan, faktor utama adalah pengaruh media sosial yang negatif.
“Bahasa dan kelakuan yang ditunjukkan di media sosial ada yang tidak betul namun kanak-kanak mudah terpengaruh dan menganggap perlakuan itu suatu kebiasaan dalam hidup,” katanya.
Seorang lagi guru, Parimala Devi a/p Meenakshi Sundram dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berpegang pada peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebung’.
“Punca utama adalah kurang didikan sejak kecil. Ibu bapa terlalu memanjakan serta tidak menegur kesalahan anak-anak sejak kecil. Apabila guru atau orang lain menegur, kanak-kanak dan remaja terbabit tidak ambil pusing kerana ibu bapa sendiri tidak pernah menegur,” ujarnya.
Selain pengaruh media sosial, Nagathisen Katahenggam dari Teluk Kumbar, Pulau Pinang berpendapat, sikap dan contoh yang ditunjukkan ibu bapa turut menjadi ikutan anak-anak.
“Kalau ibu bapa sendiri merujuk kepada individu lain dengan perkataan dan gelaran tidak sopan dalam perbualan harian, anak-anak akan terikut-ikut.
Bagaimana acuan begitulah kuihnya,” tegasnya.
Peribahasa bapa borek anak rintik pula digunakan Roshini a/p Muniam untuk menerangkan situasi yang sedang berlaku sekarang.
“Generasi muda mewarisi sikap dan perangai ibu bapa. Sekiranya kita mendapati perangai anak kurang sopan, saya percaya ini disebabkan cara ibu dan bapa berinteraksi di rumah dan di tengah masyarakat,” kata pensyarah yang berasal dari Banting, Selangor.
Guru dan penulis dari Banting, Anuradha Chelliah berkongsi pengalaman di mana murid-murid tidak tahu cara meminta izin dengan sopan dan berhemah untuk ke tandas.
“Sikap biadap biasanya berpunca daripada ibu bapa sendiri, selain pengaruh rakan sebaya dan media sosial. Ramai yang terikut-ikut dengan cara panggilan atau dialog dalam filem, lalu menggunakannya dalam kehidupan harian tanpa menyedari betapa biadab tutur kata mereka,” katanya berkongsi keresahan.
Situasi keluarga yang tidak harmoni dilihat sebagai punca utama oleh Malini Lakshmi Bai dari Cheras, Kuala Lumpur.
“Apabila ahli keluarga yang lebih tua sering menggunakan kata-kata kesat, menengking dan mengarah orang lebih muda tanpa ada rasa hormat dan kesantunan, anak-anak pula pasti membalas dengan bersikap kurang sopan juga,” kata guru dan penulis ini.
Bagaimanakah cara untuk mengatasi dan memulihkan keadaan ini sebelum lebih melarat dan menghancurkan terus segala nilai ketimuran yang kita banggakan selama ini?
“Bagi saya, ibu bapalah yang harus bertanggungjawab mendidik dan membimbing anak-anak supaya tahu adab dan kesopanan. Sebagai seorang ibu dan guru, saya sentiasa menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa anak-anak.
Semoga mereka menjadi generasi yang berakhlak dan tinggi nilai susila,” kata Hanusuya.
Sambil menyokong saranan itu, Parimala mengetengahkan pentingnya anak-anak dihantar ke kelas agama. Kem atau program pembinaan sahsiah juga boleh membantu. Interaksi dengan orang lebih tua perlu lebih kerap supaya anak-anak membiasakan diri dengan komunikasi yang penuh sopan.
“Ibu bapa sendiri perlu hindarkan penggunaan terma-terma tidak sopan dalam komunikasi. Mereka wajar perhatikan bagaimana anak-anak bertutur dengan rakan sebaya. Jika anak-anak bersikap kurang sopan atau biadab, ibu bapalah yang perlu tegur dan betulkan,” ujar Nagathisen.
Selain didikan di rumah, guru di sekolah boleh memainkan peranan penting. Menurut Roshini, pendidikan moral dan kesopanan sudah diterapkan dalam kurikulum pendidikan kebangsaan tetapi mungkin tidak diberi perhatian sewajarnya kerana sekolah lebih mementingkan pencapaian akademik.
Anuradha menyarankan ibu bapa meluangkan masa serta membimbing anak-anak dengan penuh kasih.
“Anak-anak wajar diajar untuk bercakap dengan sopan dan penuh santun.
Contohnya, mengucapkan terima kasih kepada pelayan di restoran,” ujarnya.
“Cara kita menghormati seseorang mencerminkan keperibadian dan integriti yang pada diri kita sendiri. Nilai itulah yang perlu ditanam secara berterusan dalam jiwa,” Malini mengingatkan.
Sesungguhnya, cara berinteraksi menunjukkan kelakuan dan nilai budi dimiliki. ‘Bahasa menunjukkan bangsa’ iaitu kesantunan kita dalam berbahasa merupakan citra kepada cara kita diasuh menjadi manusia berbudi pekerti mulia.
Hasil perbincangan dengan sekumpulan rakan seperti di atas menunjukkan memang wujud masalah dari sudut adab dan kesantunan dalam komunikasi generasi muda akibat pelbagai punca.
Namun begitu, sebagaimana disarankan dalam perbincangan ini, masih belum terlewat untuk kita semua sama-sama berusaha menangani isu berkenaan dan terus memelihara budaya kesantunan yang menjadi kebanggaan penduduk majmuk di Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











