PETALING JAYA: Beberapa penternak ayam telur mengeluh akibat sistem kerajaan yang gagal menangani isu melibatkan sektor telur sehingga mereka terpaksa beroperasi dalam kerugian.
Satu sumber industri mewakili ladang telur di Lembah Klang yang ditemui semalam mendedahkan, susulan kelewatan pembayaran subsidi mengakibatkan mereka kerugian 5 sen bagi setiap biji telur yang dihasilkan.
Jelas sumber, ladangnya kini terpaksa berbelanja 45 sen bagi menghasilkan sebiji telur manakala harga telur dijual kepada pemborong pula 40 sen sebiji.
Justeru katanya, tanpa subsidi 10 sen sebiji telur yang diberikan kerajaan, ladangnya terpaksa menanggung kerugian 5 sen bagi setiap biji telur dihasilkan.
Menurutnya, ladangnya menghasilkan 500,000 biji telur sehari, bermakna kerugian RM25,000 setiap hari.
“Jadi, kami terpaksa cari model bisnes lain untuk tampung kos operasi. Antaranya, kami terpaksa melebihkan pengeluaran telur jenis omega yang tidak dikawal had pengeluaran serta harganya,” kata sumber.
Sumber berkata, ada ladang-ladang lain dikesan menipu label telur masing-masing bagi mengaut keuntungan dan mengelakkan beroperasi dalam kerugian, antaranya telur gred rendah sebagai gred tinggi bagi mendapat sedikit keuntungan.
Malah, isu ini semakin serius apabila sumber mendakwa sering menerima rungutan daripada peniaga dan pengusaha bakeri yang mengeluh saiz telur semakin kecil tapi harga mahal.
“Ada banyak ladang saya dapat tahu, mereka jual telur gred C sebagai gred B, kemudian gred B dijual pula sebagai teur gred A. Perkara ini banyak berlaku di Selangor sebab pemborong saya banyak dalam kalangan peniaga bakeri. Mereka merungut beritahu di pasaran sekarang ini, telur saiz lebih kecil tapi mahal.
“Misalnya ada pemborong yang merupakan peniaga bakeri, dia cakap telur di pasaran saiz B, tapi harga dijual sebagai telur gred A,” kata sumber.
LEMBAGA UNGGAS
Sementara itu, satu sumber industri lain yang dihubungi akhbar ini mempersoalkan pendirian kerajaan berhubung langkah menubuhkan lembaga unggas bagi membaik pulih sektor ayam dan telur.
Katanya, isu lambakan telur omega sekarang ini adalah cerminan kepada kegagalan kerajaan menubuhkan lembaga unggas dan menasionalisasikan sektor ayam dan telur.
Jelas sumber, punca kenaikan kos operasi di ladang ayam dan telur akibat harga dedak dan harga anak ayam yang sekarang dikawal 100 peratus oleh kartel swasta.
Justeru, melalui penubuhan satu lembaga khas sahaja yang boleh membebaskan penternak daripada cengkaman kartel yang berterusan mengawal dan menentukan pengeluaran serta harga dedak dan anak ayam.
“Dalam masa sama, kerajaan harus melantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai pengimport dedak ayam. Ini boleh memecahkan monopoli lima kartel dedak yang sekarang sedang disiasat Suruhanjaya Persaingan (MYCC) kerana kegiatan kartel,” kata sumber.
AKREDITASI TELUR OMEGA
Dalam pada itu, sumber menggesa kerajaan mewujudkan mekanisme khusus mengawal pengeluaran telur omega demi memastikan pengguna tidak diperdaya.
“Ada ladang-ladang lain yang sengaja memperbanyakkan pengeluaran telur omega, bukan sebab tiada subsidi, bukan.
“Sebab kawalan harga. Bila kerajaan kawal harga, mereka berada dalam kerugian. Jadi ladang-ladang ini buatlah telur omega. Bukan sebab subsidi,” jelasnya.-UTUSAN










