Lebih 11 juta ikan patin sangkar mati sejak 2020

Lebih 11 juta ikan patin sangkar mati sejak 2020

SEORANG penternak risau memikirkan pengeluaran ikan sangkar miliknya yang semakin berkurangan kerana risiko ikan mati semakin meningkat. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Kualiti benih dan air serta sungai semakin cetek dikatakan menjadi antara punca lebih 11 juta ikan patin mati di daerah ini sejak 2020 sekali gus menyebabkan bekalan sumber protein itu semakin kritikal ketika ini.

Difahamkan, daripada 3,000 ekor benih ikan dilepaskan dalam sebuah sangkar, peratusan hidup kira-kira 200 hingga 300 ekor sahaja.

Dianggarkan di daerah ini terdapat 1,500 sangkar ikan membabitkan 150 pengusaha yang ketika ini terjejas kerana mengalami kerugian kira-kira RM50,000 semusim ekoran masalah tersebut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengusaha ikan sangkar di Sungai Pahang, Badarudin Husin, 50, berkata, dianggarkan setiap tahun sejak 2020, kira-kira 3.7 juta ikan patin mati membabitkan 1,500 sangkar di sini.

“Ini hanya anggaran secara kasar. Tahun 2021 situasi sebenarnya lebih parah dengan keadaan cuaca tidak menentu, banyak ikan mati. Begitu juga ketika ini, cuaca cukup panas.

“Sebenarnya, ikan mati itu perkara biasa dalam menempuh tiga fasa pembesaran, namun sejak 2020, ikan mati dalam jumlah luar biasa sehingga mencecah 30 ekor sehari. Belum sempat mencapai berat satu atau 1.5 kilogram, banyak yang terpaksa dibuang kerana mati.

“Sehinggakan kami terpaksa mengeluarkan ikan seberat 700 gram sehingga 800 gram yang pada kami ia cukup merugikan,” katanya di sini.

Badarudin yang mengusahakan ikan sangkar sejak 15 tahun lalu berkata, kesan yang sama turut terjadi kepada ikan sangkar jenis lain seperti tilapia yang diternaknya.

“Keadaan menjadi bertambah teruk selepas kejadian banjir pada 2020 dan pada tahun lalu, saya mengalami kerugian sekitar RM50,000.

“Kami penternak ikan tidak tahu apakah punca sebenar banyak ikan mati. Sama ada ia kerana kualiti air sungai yang semakin cetek sejak selepas banjir atau mungkin faktor benih ikan yang semakin tidak berkualiti,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini ada pihak berwajib hadir membuat ujian terhadap ikan mati dan air sungai namun tiada sebarang keputusan dimaklumkan kepada penternak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×