PETALING JAYA: Spekulasi membabitkan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Azmin Ali yang didakwa akan meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa memberi gambaran beliau ‘hilang keyakinan’.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau komited memberi fokus untuk memastikan pasukannya memenangi kerusi DUN di Selangor dengan selesa.
“Fokus utama saya adalah untuk memastikan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH) serta rakan kongsi baharu dimenangi dengan majoriti yang selesa.
“Ini supaya kita dapat mencapai kesinambungan dari segi pelaksanaan polisi oleh pentadbiran ini.
“Ura-ura Azmin ingin mencari kerusi lain dan meninggalkan rakyat yang memberikannya mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu memberi gambaran beliau sudah mula menerima realiti dan hilang keyakinan,” katanya ketika dihubungi.
Baru-baru ini, Azmin yang juga bekas Ahli Parlimen Gombak memberitahu, beliau terbuka memberi peluang kepada wajah-wajah baharu untuk bertanding atas tiket PN bagi pilihan raya negeri yang dijangka diadakan pada awal Julai ini.
Kenyataan itu sekali gus memberi gambaran Azmin tidak akan bertanding walaupun bagi kerusi DUN miliknya di Bukit Antarabangsa.
Mengulas mengenai penampilan wajah baharu yang bakal mewakili PH dan rakan kongsinya, Amirudin berkata, perkara itu hanya sebahagian daripada strategi untuk menang dalam pilihan raya.
“Fokus kita adalah untuk menang PRN dan strategi kita adalah mencapai kemenangan itu dengan yakin. Penampilan wajah baharu bukan satu-satunya strategi untuk memenangi keyakinan rakyat. Ia adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan.
“Rakyat juga akan menilai dari segi track record perkhidmatan, kualiti kerja, serta komitmen untuk terus membawa kemajuan kepada negeri Selangor seperti yang telah kita lakukan dalam penggal ini,” katanya.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Amirudin menewaskan Azmin dengan undian sebanyak 72,267 berbanding Azmin yang mendapat 59,538 undi. – UTUSAN










