Daging import 19 negara tiada perakuan JPV

Daging import 19 negara tiada perakuan JPV

CONTOH logo pengesahan halal dan perakuan JPV yang dicetak pada setiap daging import yang diluluskan untuk dibawa masuk ke Malaysia. – IHSAN JPV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya lapan daripada 27 negara yang diaudit rumah sembelihan memperoleh perakuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk membawa daging import ke negara ini.

Sumber agensi berkenaan berkata, negara-negara tersebut adalah India, Australia, Brazil, New Zealand, Pakistan, Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Argentina.

“Kami memang melaksanakan audit secara berkala amat ketat malah Australia sendiri yang dikatakan agak kontroversi pun sudah dibuat proses itu akhir tahun lepas,” katanya di sini semalam.

Semakan menerusi laman sesawang rasmi agensi itu mendapati, baki 19 negara lain tiada premis sembelihan ruminan diperakukan JPV kecuali ke atas kilang pengeluaran daging ayam, telur, khinzir dan produk tenusu berjaya melepasi peng­auditan agensi tersebut untuk pengeksportan ke Malaysia.

Antaranya jiran terdekat, Indonesia yang tiada langsung rumah sembelihan ruminan dimasukkan dalam senarai rasmi JPV setelah rekod baharu dikemas kini pada 6 Mac lalu.

Sebaliknya, JPV menyenaraikan 10 premis tenusu di republik itu yang turut diperakui oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI) bermula pada 3 Mac lepas untuk tempoh sah selama tiga tahun.

Ketiadaan itu bahkan selaras dengan laporan media antarabangsa pada 10 Mei lalu memetik Jabatan Pertanian Persekutuan Australia menyekat import daging dari Indonesia.

Terdapat hanya tujuh rumah sembelihan halal ruminan di Indonesia dan kesemuanya itu didapati melanggar kod peraturan standard kebajikan haiwan Australia sejak 2021.

Situasi yang sama turut membabitkan Thailand apabila langsung tiada satu pun premis sembelihan ternakan di negara itu dalam data senarai JPV dikemas kini pada 7 Mac lepas.

Apa yang ada hanyalah 16 buah rumah sembelihan ayam serta 10 syarikat pengeluaran tenusu dengan diiktiraf oleh badan akreditasi halal, Central Islamic Committee of Thailand.

Australia muncul sebagai negara yang paling banyak badan diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu tujuh dengan 19 rumah sembelihan ada pengauditan JPV.

Sementara itu, China pula didapati langsung sifar premis sembelihan ruminan yang dalam senarai JPV meskipun negara tersebut ada enam badan pensijilan halal diiktiraf Jakim.

Situasi berbeza dengan Jepun yang juga ada sama jumlah badan pensijilan halal namun dua rumah sembelihan daging lembu di sana diaudit oleh JPV akhir tahun lepas.

Kedua-dua premis itu diiktiraf Japan Halal Association dan Muslim Professional Japan Association yang diperakui Jakim dengan sijil mereka diluluskan pada 2 Disember 2022.

Dalam pada itu, India disenaraikan JPV memiliki rumah sembelihan ruminan paling banyak diaudit iaitu 25 buah dengan semua ditauliahkan oleh Jamiat Ulama-I-Hind Halal Trust.

Ini diikuti Australia dengan 19 buah dan Brazil pula 17 buah yang menerima perakuan Federation of Muslims Association in Brazil termasuk dua mendapat sijil pada 3 Mac lalu.

Tidak ketinggalan ialah New Zealand yang baharu disenaraikan JPV pada 13 April lepas dengan lapan rumah sembelihan ruminan turut diiktiraf dua badan Islam negara tersebut.

Negara lain diaudit agensi itu ialah Pakistan dengan tiga premis, manakala Jepun (dua) serta Amerika Syarikat dan Argentina masing-masing paling sedikit iaitu sebuah sahaja. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×