Ziarah luar Madinah ceriakan jemaah haji

Ziarah luar Madinah ceriakan jemaah haji

Jemaah haji memilih coklat dan makanan berasaskan kurma di ladang kurma semasa sesi ziarah luar di Madinah, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAMBAIAN KAABAH

MADINAH: Kumpulan jemaah Malaysia melahirkan rasa syu­kur diberi peluang menziarahi kawasan bersejarah di sekitar bandar ini pada hari ketiga berada di Madinah al-Munawwarah sebelum berangkat ke Mekah.

Rata-rata mereka kelihatan ceria dan sihat selain berpuas hati dengan pengurusan dan program yang diatur oleh petugas Tabung Haji (TH).

Semalam, mereka dibawa menaiki 28 buah bas seawal pukul 6 pagi untuk menziarahi Masjid Quba, ladang kurma, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh atau Khandaq dan makam para syuhada di kaki Gunung Uhud.

Usai solat sunat di Masjid Quba iaitu masjid pertama yang dibina oleh Nabi SAW, mereka dibawa pula ke ladang kurma Majed yang mengambil masa 10 minit perjalanan dengan bas.

Pembimbing jemaah haji, Kapten Dr. Muhaidi Mustaffa berkata, ada fadilat besar bagi seseorang berwuduk di rumah lalu solat sunat di Masjid Quba.

“Nabi SAW bersabda dengan maksudnya solat sunat di Masjid Quba dengan wuduk yang diambil di rumah mendapat pahala seperti mengerjakan satu umrah.

“Oleh sebab itu, TH telah mengatur aktiviti ke sini untuk memberi peluang kepada jemaah yang belum pernah sampai ke sini untuk bersama-sama mendapat faedah daripadanya,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang jemaah yang pertama kali mengerjakan haji dikenali sebagai Syifa, 30-an berkata, dia bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke masjid bersejarah tersebut.

“Sebelum ini hanya dengar melalui cerita rakan dan kali ini saya dapat datang ke sini untuk menyaksikan sendiri masjid ini dan bersolat di dalamnya.

“Ini merupakan nikmat yang tidak terucap dan terima kasih kepada Tabung Haji kerana menyediakan program bermanfaat ini untuk faedah jemaah,” katanya.

Bagi warga emas dikenali sebagai Fatimah, 60-an, dia bersyukur apabila mendapat ilmu baharu ketika mendengar mutawif memberikan penerangan mengenai sejarah peperangan Uhud.

“Mutawif menceritakan bahawa jasad para syuhada masih utuh dan berdarah ketika jenazah mereka timbul apabila perkuburan mereka dilanda banjir sebelum dipindahkan ke kawasan baharu yang ada sekarang.

“Selain itu, saya bersyukur apabila ditempatkan di dalam bilik dengan jemaah yang boleh bertolak ansur dan sememangnya ini yang saya pohon sebelum datang ke sini. Saya ke sini seorang diri kerana suami sudah dapat mengerjakan haji pada tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, pemilik kebun kurma,  Majed Hamidan berkata, harga kurma sedikit naik kerana stok berkurangan terutama selepas pandemik.

“Bagaimanapun, kami mempunyai stok untuk dijual kepada jemaah. Pokok di sini tumbuh dengan baik dan kami berbesar hati dapat memenuhi permintaan semua jemaah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Terdahulu, suasana di ladang tersebut menjadi riuh dengan kedatangan jemaah haji Malaysia untuk membeli pelbagai jenis makanan kering untuk dibawa pulang ke tanah air kelak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×