PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) merekodkan pertumbuhan signifikan dalam pendapatannya pada suku pertama (S1) berakhir 31 Mac 2023, berjumlah RM200.48 juta, peningkatan 7.82 peratus daripada RM185.94 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Pada masa sama, keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat merekodkan peningkatan sebanyak 11.5 peratus kepada RM22.63 juta daripada RM20.29 juta tempoh sama sebelumnya. Keuntungan sebelum cukai (PBT) juga tumbuh sebanyak 6.18 peratus daripada RM26.65 juta kepada RM28.29 juta.
Menurut Duopharma, peningkatan pendapatan dirangsang oleh jualan yang lebih tinggi kepada pasaran preskripsi farmaseutikal, yang merekodkan peningkatan ketara sebanyak 31.93 peratus daripada pendapatan RM151.96 juta pada suku sebelumnya.
Perolehan sesaham bagi suku berakhir 31 Mac 2023 berjumlah 2.38 sen, berbanding 2.19 sen pada suku yang sama sebelumnya. Tiada dividen dibayar pada suku semasa.
Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, syarikat melihat pembaharuan dalam sektor penjagaan kesihatan di negara ini, seperti tambahan peruntukan sebanyak 12 peratus bagi sektor berkenaan dalam Belanjawan 2023.
Kata beliau, permintaan yang meningkat untuk inovatif produk farmaseutikal akan membantu meningkatkan hasil penjagaan kesihatan, selain menawarkan peluang untuk pertumbuhan industri.
“Begitu juga pengembangan kami ke dalam pasaran Indonesia akan membolehkan Duopharma Biotech untuk mewujudkan kehadiran global yang lebih besar dan merebut peluang menarik untuk kerjasama yang seterusnya menyumbang kepada hasil penjagaan kesihatan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.
Pada April 2023, syarikat telah menubuhkan PT Duopharma Healthcare Indonesia (PT DHI), anak syarikat milik penuhnya di Indonesia.
Pada masa ini, Duopharma Biotech mendapat kontrak untuk membekalkan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulasi kepada fasiliti Kementerian Kesihatan selama tiga tahun sehingga April 2025, berjumlah RM375 juta.
Selain itu, syarikat turut mendapat lanjutan kontrak untuk membekalkan produk farmaseutikal dan bukan farmaseutikal kepada hospital dan klinik kerajaan sehingga 30 Jun 2023. – UTUSAN










