KUALA LUMPUR: Isu berhubung kalimah Allah yang diguna penganut agama Kristian, selepas kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa penganut agama itu boleh menggunakan kalimah berkenaan antara yang menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Idris Ahmad [PN-Bagan Serai] dijangka meminta Perdana Menteri menyatakan jika kerajaan mendapatkan perkenan Majlis Raja-raja Melayu dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-negeri terlebih dahulu sebelum kerajaan secara diam-diam menarik balik rayuan itu.
Idris akan bertanya soalan tersebut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Rodziah Ismail [PH-Ampang] terlebih dahulu akan bertanya kepada Perdana Menteri untuk menyatakan kemungkinan keputusan Kerajaan Persekutuan beralih daripada model Single Wholesale Network kepada Dual Network mengakibatkan beberapa kemudaratan seperti kemungkiran kontrak antarabangsa, pelanggaran tatakelola baik, risiko keselamatan siber, lonjakan implikasi kewangan kepada kerajaan dan kenaikan tarif 5G buat pengguna.
Seterusnya, Tan Hong Pin [PH-Bakri] pula meminta Perdana Menteri menyatakan jika kerajaan mempunyai rancangan untuk memanjangkan masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) ke 24 jam bagi membantu dengan segera mereka yang menjadi mangsa penipuan mendapat bantuan yang tepat dan segera dalam masa yang kritikal.
Bagi sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan (MQT) pula, R. Yuneswaran [PH-Segamat] meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan bagaimana Majlis Amanah Rakyat (Mara) dapat mewujudkan ruang perkhidmatan profesional kepada kakitangan-kakitangan perubatan kontrak khususnya doktor yang tidak diserap untuk perjawatan tetap Kementerian Kesihatan, dan skop sokongan kewangan yang disedia bagi menjadikan bidang kesihatan sebagai cabang keusahawanan lestari di bawah agensi itu.
Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah [PN-Langkawi] akan meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jika kementerian telah berpuas hati dengan pencapaian wanita di dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan sektor swasta yang lain.
Beliau juga mahu mengetahui jika kuota 30 peratus telah dicapai dan peranan kementerian bagi memenuhi hasrat 30 peratus yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Aminolhuda Hassan [PH-Sri Gading ] meminta Menteri Pendidikan menyatakan langkah-langkah yang telah diambil oleh kementerian bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi oleh semua pihak dan tahun berapa persekolahan dapat bermula seawal Januari.
Pada permulaan urusan mesyuarat mengemukakan rang undang-undang kerajaan untuk bacaan kali pertama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan membentang Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023.
Mengikut aturan mesyuarat dan usul-usul, tiga rang undang-undang yang dibentang bagi bacaan kali kedua iaitu Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan) 2023,
Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023. – UTUSAN











