Hakisan pantai: 35 murid tabika belajar dalam bangunan retak

Hakisan pantai: 35 murid tabika belajar dalam bangunan retak

ROSLEEZA Ahmad menunjukkan keadaan dinding bangunan Tabika Kemas Kampung Geliga Baru, Chukai, Kemaman yang retak selepas kejadian hakisan pantai pada Januari lalu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kira-kira 35 murid Taman Asuhan dan Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kampung Geliga Baru, Chukai dekat sini terpaksa mengambil risiko belajar dalam bangunan yang retak serta hampir runtuh akibat hakisan pantai berdekatan, awal tahun ini.

Tabika yang mula beroperasi sejak 2010 itu terjejas selepas kejadian hakisan pantai Januari lalu sehingga menyebabkan pagar belakang bangunan itu runtuh dan sebahagian dinding bangunan itu pula retak.

Malah sebahagian struktur atap dan siling tabika itu turut terjejas dan berada dalam keadaan tidak selamat.

Guru tabika tersebut, Rosleeza Ahmad berkata, pihaknya terpaksa menggunakan premis tersebut untuk memastikan murid-murid dari sekitar kampung ini tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran.

Katanya, guru-guru di tabika itu juga sentiasa mengawasi pergerakan murid-murid ketika berada di premis tersebut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Selepas kejadian hakisan itu, murid terpaksa menumpang sementara di sebuah tabika lain berhampiran selama dua bulan baru-baru ini, sebelum berpindah kembali ke tabika ini untuk keselesaan murid,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan negeri membenarkan tabika itu menggunakan balai raya berdekatan memandangkan Kemas masih mencari tapak sesuai untuk pembinaan tabika baharu.

“Kami pernah membuat permohonan untuk menggunakan balai raya tersebut, namun ditolak,” ujarnya.

Salah seorang ibu kepada murid Tabika tersebut, Najiha Ramli, 34, berkata, ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain bagi memastikan anaknya mendapatkan pendidikan awal dengan sempurna.

“Kalau musim tengkujuh melanda hujung tahun ini, tabika ini berisiko roboh dibadai ombak sebab kedudukannya terlalu hampir dengan kawasan pantai.

“Kami harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku demi keselamatan murid-murid,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×