PETALING JAYA: Lebih 100 syarikat berstatus sendirian berhad berada dalam ‘radar’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan dana insentif Program Penjana Kerjaya.
Syarikat daripada pelbagai sektor dan bidang itu dikenal pasti SPRM hasil operasi dan risikan berterusan bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam operasi khas Op Hire.
Ia mengesan mana-mana individu yang ‘mengambil kesempatan’ melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) ketika negara berdepan ancaman Covid-19 pada 2020.
Sumber memberitahu Utusan Malaysia, syarikat yang kebanyakan mempunyai 10 sehingga 70 kakitangan itu kononnya menawarkan latihan dan menggaji pekerja bagi syarikat mereka sebelum mengemukakan tuntutan palsu dan menyeleweng dana program berkenaan.
“Mereka ini dikesan mengambil data daripada orang luar atau berpakat dengan pembekal latihan buat tuntutan palsu dengan insentif yang ditawarkan itu.
“Kebanyakan pekerja yang dikatakan bekerja dengan majikan-majikan berkenaan tidak pernah bekerja pun,” katanya di sini semalam.
Terbaharu kata sumber itu, 47 individu lagi terdiri pemilik, pengarah, pengurus syarikat ditahan dalam Op Hire 2.0 kerana membuat tuntutan palsu antara RM450,000 hingga RM2 juta.
Kesemua mereka berusia 30 hingga 70 tahun terdiri 33 lelaki dan 14 wanita itu mengemukakan tuntutan yang kononnya telah mengendalikan program pengambilan dan latihan pekerja kepada pihak Perkeso. Namun ia tidak dilaksanakan sebagaimana tuntutan.
“Op Hire 2.0 ini adalah lanjutan daripada Op Hire 1.0 yang dilaksanakan pada 2022.
“Semua tangkapan membabitkan 51 syarikat yang dikenal pasti SPRM melakukan tuntutan dengan nilai keseluruhan tuntutan adalah RM63 juta,” jelas sumber itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengakui SPRM mengenal pasti ratusan syarikat lain yang buat tuntutan palsu dan akan menahan semua yang terlibat.
Justeru beliau menggesa mana-mana syarikat yang terlibat tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang dibuat bagi mengelakkan pertuduhan di mahkamah.
“Kita telah kenal pasti nama dan senarai pemilik syarikat yang terlibat. Bagi tujuan mendapatkan semula kesemua tuntutan palsu terbabit, saya beri amaran kepada semua untuk tampil segera sebelum SPRM mengetuk pintu pejabat syarikat-syarikat terlibat.
“Saya memberi jaminan bahawa sesiapa yang terlibat untuk tampil secara sukarela dan menyerahkan semula tuntutan-tuntutan yang telah dibuat, tidak akan dipertuduh di mahkamah. Bagi mereka yang masih berdegil maka mereka akan dikenakan tindakan yang lebih serius,” tegas beliau.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Khusairi turut mengesahkan penahanan 47 orang lagi terdiri pengarah syarikat oleh SPRM.
Jelas beliau, kes disiasat di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Dalam Op Hire 1.0 sebelum ini seramai 74 orang daripada 60 syarikat telah ditahan dengan melibatkan tuntutan palsu bernilai RM88 juta. Sepanjang tempoh itu, seramai 52 orang telah didakwa di Mahkamah.
“Tindakan tegas SPRM ini adalah bagi mengekang penyelewengan dan ketirisan dana kerajaan yang dilihat sebagai isu yang serius,” katanya. – UTUSAN










