Masjid Al-Aqsa diceroboh tentera Israel, Jumaat ini?

Masjid Al-Aqsa diceroboh tentera Israel, Jumaat ini?

Serangan udara Israel di Semenanjung Gaza baru-baru turut mengorbankan anggota Pasukan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP), Odai Riyad al-Louh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penduduk Pa­lestin bakal berdepan situasi getir apabila Masjid Al-Aqsa dijangka ‘diceroboh’ tentera Israel beserta perarakan bendera sempena Hari Jerusalem, Jumaat ini.

Hari Jerusalem adalah hari cuti am Israel bagi memperingati penyatuan semula Jerusalem dan penubuhan kawalan Israel ke atas Kota Lama Baitulmuqaddis, selepas peristiwa Perang Enam Hari Arab Israel pada 1967.

Pada Jumaat ini juga, penduduk Palestin akan berada di dalam Masjid Al-Aqsa bagi mempertahan pusat ibadat umat Islam itu dan menghalang penjajah diiring tentera Israel daripada memasukinya.

Kelmarin, media antarabangsa, The Jerusalem Post melaporkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam kenyataan ang­kuhnya menegaskan, Hari Jerusalem akan diadakan seperti biasa mengikut laluan dan susunannya melalui Kota Lama Baitulmuqaddis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, pergelutan antara penduduk dengan tentera Israel bakal menyaksikan banyak nyawa terkorban kerana kekuatan tentera yang sukar dihalang.

Katanya, ini selepas Israel baru-baru ini meneruskan siri serangan udara ke atas Semenanjung Gaza sehingga mengakibatkan puluhan nyawa penduduk Palestin terbunuh.

Beliau yang kini berada di Gaza untuk misi kemanusiaan membantu penduduk-penduduk yang terkesan serangan udara oleh zionis bagaimanapun memberitahu, tidak berada di Masjid Al-Aqsa ketika jangkaan ‘pencerobohan’ itu berlaku.

“Gencatan senjata sudah berlaku dan di Gaza sudah tidak ada sera­ngan lagi. Cuma di Masjid Al-Aqsa dijangka akan ada pergelutan sebab perarakan bendera pada Jumaat ini yang yang tentera Israel akan ceroboh masuk ke masjid.

“Biasanya penduduk akan duduk di dalam kawasan masjid, bertahan untuk menghalang penjajah masuk. Tapi penjajah akan masuk dengan iringan tentera jadi biasanya susah mahu halang mereka.

“Situasi kehilangan nyawa dijangka berlaku, tetapi di sebelah Tebing Barat, Masjid Al-Aqsa. Kami tidak berada di kawasan berdekatan kerana kini berada di Gaza, tetapi kami ada wakil di sana kalau perlu sampaikan bantuan makanan dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau ditanya mengenai perkembangan terkini sekiranya pergolakan dan serangan besar-besaran oleh zionis masih berlaku di Semenanjung Gaza. Ia susulan serangan udara dilakukan zionis baru-baru ini.

Di sebalik Israel menganggapnya sebagai hari penyatuan semula Jerusalem, bagi Palestin, perarakan itu disifatkan sebagai satu bentuk pencerobohan dan provokasi secara terang-terangan.

Bantuan baik pulih Gaza boleh dilakukan ke akaun rasmi Maybank Persatuan Cinta Gaza Malaysia, 5648 1050 7826 dengan rujukan kecemasan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×