KUALA LUMPUR: Penyanyi kesayangan, Ziana Zain, 55, selesa bergelar ibu tunggal walaupun terpaksa membesarkan sendirian anak-anaknya.
Kata pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain, disebabkan itu dia tidak terfikir dan berkeinginan untuk berkahwin lagi.
“Saya tak fikir (soal jodoh), tak tahu dan tak mahu ambil tahu. Saya selesa (hidup) begini. Kalau ada yang bertanyakan soal itu, saya jawab hanya dengan anak-anak.
“Saya selesa mungkin sebab anak-anak sudah besar. Jadi saya tak perlu fikir lagi (pasal jodoh),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Penyanyi lagu Madah Berhelah itu mendirikan rumah tangga bersama Armin Zaharin Ahmad Zambri pada 9 Mei 1998 tetapi bercerai pada 12 Julai 2018.
Dalam pada itu, Ziana menolak kewujudan mana-mana lelaki, termasuk golongan VVIP cuba mendekatinya.
“Tak ada yang berani nak try sebab saya garang,” jawabnya ringkas.
Ibu empat cahaya mata itu pada masa sama memaklumkan anak-anaknya tidak pernah mencadangkan agar dia berkahwin lagi.
Malah, pelakon filem Sembilu itu sentiasa mengingatkan anak dan diri sendiri agar menjaga antara satu sama lain.
“Kena ada perasaan malu sebab umur anak-anak ada yang sudah 20-an. Air muka mereka saya kena jaga.
“Mereka pun tidak pernah cakap apa-apa (tentang perkahwinan). Begitu juga saya, yang tidak pernah memperkatakan tentangnya dengan mereka.
“Saya cuma ingatkan anak-anak, kami sekarang tinggal berlima. Kena jaga sesama sendiri,” jelasnya.
Sementara itu, Ziana mengulangi pengakuannya yang cukup bahagia dengan kehidupan sekarang.
Dia dan anak-anak yang kini tinggal bersama kedua-dua orang tua dan adik beradiknya di Selangor bersyukur kerana diberi peluang tinggal bersama keluarga meskipun masing-masing sudah meningkat usia.
“Saya gembira, dapat tinggal dengan adik-beradik dan mak ayah. Hari-hati tengok wajah mereka, sarapan bersama-sama.
“Seronok duduk satu bumbung dengan orang tua dan adik-beradik. Terasa macam zaman persekolahan, meskipun kami semua sudah berusia,” kongsinya. – UTUSAN










