KANGAR: Sambutan Hari Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra di sini, semalam menampilkan kelainan tersendiri apabila guru-guru sekolah berkenaan memilih memakai pakaian pelbagai bidang kerjaya bersempena sambutan berkenaan.
Bertemakan ‘Sekiranya Aku Bukan Seorang Guru’, sambutan tersebut berlangsung meriah menerusi pengisian pelbagai aktiviti menarik membabitkan pelajar dan guru sekolah berkenaan.
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Putra, Zulkhibri Hussein berkata, seramai 88 guru sekolah itu mengenakan pelbagai jenis pakaian mengikut tema kerjaya yang dipilih antaranya polis, tentera, doktor dan peguam.
“Kita cuba menampilkan sesuatu yang berbeza dalam sambutan kali ini bagi menunjukkan kepada pelajar bahawa inilah profesion yang kami pilih sekiranya tidak menjadi guru,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkhibri berkata, pemilihan tema itu juga adalah bagi memberi inspirasi dan motivasi kepada pelajar sebagai persediaan melangkah ke alam pekerjaan nanti.
Katanya, selain itu, guru-guru sekolah berkenaan berkesempatan melakukan persembahan khas di hadapan para pelajar bersempena sambutan berkenaan.
“Guru-guru cuba mewujudkan hubungan baik bersama pelajar dengan menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk acara menyuap kek, persembahan dan pelbagai lagi,” katanya. – UTUSAN











