SUNGAI PETANI: Pendapatan nelayan di Sungai Muda, Tikam Batu, di sini terjejas ekoran paras air sungai surut dipercayai berpunca daripada kerosakan pintu baraj sejak kelmarin.
Tinjauan Utusan Malaysia di muara Sungai Muda berdekatan Jambatan Merdeka semalam mendapati, banyak bot nelayan tersadai menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan.
Seorang nelayan, Ismail Abdullah, 48, berkata, dia mendapat maklumat mengenai perkara tersebut sekitar pukul 5 pagi selepas dimaklumkan rakan-rakan nelayan melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, dia ke muara sungai untuk melihat perkara tersebut dan mendapati air sungai kering sehingga menyebabkan bot-bot nelayan berada di situ tersadai.
“Setahu saya kejadian air surut yang berlaku kali ini adalah paling teruk berbanding akibat cuaca kemarau beberapa tahun lalu.
“Sebelum ini, air sungai memang sudah kurang akibat kemarau dan menjadi semakin buruk disebabkan masalah teknikal ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

KEADAAN air surut disebabkan kerosakan pintu baraj Sungai Muda di Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah. – UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Seorang lagi nelayan, Farok Othman, 59, berkata, kejadian air surut itu menyebabkan pendapatan harian mereka terjejas.
“Kejadian air surut yang berlaku secara tiba-tiba menyebabkan kami tidak dapat membuat sebarang persiapan awal berdepan situasi ini. eadaan ini dijangka berlarutan selama seminggu sementara menunggu paras air naik semula,” katanya.
Sementara itu, penduduk Tikam Batu, Roshidi Rejab, 53, berkata, kejadian mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat kerana turut menyebabkan gangguan bekalan air bersih.
“Kebanyakan penduduk tidak sempat membuat persediaan awal untuk menyimpan air berikutan berlaku tiba-tiba.
“Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segera untuk mengatasi masalah ini supaya masalah gangguan air ini tidak berlanjutan terlalu lama sehingga menjejaskan kehidupan harian kami,” ujarnya.
Semalam, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dalam kenyataan memaklumkan, sebanyak tiga buah daerah iaitu Kuala Muda, Kulim dan sebahagian Baling akan mengalami gangguan bekalan air disebabkan penurunan mendadak paras sungai yang berpunca daripada kerosakan pintu baraj Sungai Muda.
Kejadian luar jangka itu mengakibatkan pengoperasian Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Petani/Pinang Tunggal dan LRA Kulim Hi-Tech terpaksa dihenti tugas buat sementara waktu sehingga paras sungai kembali stabil.
Situasi ini menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual membabitkan anggaran 252,000 akaun yang meliputi pengguna di Sungai Petani, Bedong, Pantai Merdeka, Kulim, Lunas, Kuala Ketil dan beberapa kawasan utama lain. – UTUSAN










