KUANTAN: “Kami nelayan C2 seperti anak yatim yang merempat di negara sendiri, sedangkan nelayan warga asing menikmati subsidi kerajaan.”
Demikian luahan nelayan C2 negeri ini, Tengku Adnan Tengku Husin yang berkata, seolah-olah wujud cubaan menutup periuk nasi golongan terbabit yang majoritinya bumiputera.
“Untuk bot kelas C, tekong dan awak-awaknya warga Vietnam dan menggunakan lesen tempatan tetapi menikmati subsidi kerajaan iaitu 10 sen untuk setiap kilogram tangkapan ikan.
“Kami nelayan kelas C2 terus ‘dianaktirikan’ kerana sejak lima tahun lalu tidak menerima bantuan seperti elaun sara hidup, dan nsentif hasil tangkapan bagi setiap kilogram ikan sepertimana diterima nelayan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada masa sama katanya, harga diesel berterusan naik antara RM3.20 hingga RM4 seliter.
“Sudahlah harga diesel naik bermula 1 Januari lalu, kuota subsidi diesel dikurangkan daripada 20,000 menjadi 17,000 liter bagi bot kelas C, manakala subsidi bot kelas B dikurangkan menjadi 12,000 berbanding 15,000 liter.
“Apabila ini berlaku, nelayan kurang turun ke laut sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan harga ikan di pasaran ekoran kekurangan bekalan. Saya percaya jika tiada tindakan diambil kerajaan, harga ikan terus melonjak di pasaran,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Timbalan Presiden Persatuan Pembekal Ikan Malaysia, Tai Wai Sun dilaporkan berkata, harga ikan dijangka meningkat dalam waktu terdekat ekoran jumlah nelayan yang keluar ke laut berkurangan susulan langkah kerajaan mengurangkan subsidi diesel sejak awal tahun ini.
Katanya, setiap perjalanan menangkap ikan mengambil masa kira-kira lapan hari dan subsidi yang diberikan kerajaan hanya boleh menampung kira-kira dua hari perjalanan.
Dalam pada itu, Tengku Adnan meminta kerajaan mengkaji semula pengurangan subsidi diesel kepada nelayan bot kelas B dan C serta berharap nelayan C2 dapat menikmati diesel bersubsidi.
“Diesel bersubsidi dijual pada harga RM1.65 seliter. Kami nelayan C2 dapat pada harga RM2.50 seliter pun sudah memadai, harap ia dipertimbang kerajaan kerana kami ketika ini cukup terbeban ekoran kenaikan harga bahan bakar ini.
“Selain itu, kerajaan diminta menilai semula pemberian elaun sara hidup dan insentif hasil tangkapan seperti mana pernah diberikan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Pahang (Pernepa), Zulkiflee Md. Yusof berkata, semua pengusaha bot nelayan bergantung sepenuhnya kepada kuota subsidi diesel diberikan kerajaan.
“Jika berterusan, ia mempengaruhi trip nelayan turun ke laut. Jika ini berlaku, tentunya bekalan ikan akan berkurangan dan harga akan terus naik di pasaran,” katanya. – UTUSAN











