SESIAPA sahaja pastinya buntu dan sedih apabila tiba-tiba hilang punca pendapatan berikutan pandemik Covid-19 yang berlarutan sejak hampir setahun lalu.
Dalam keadaan serba mencabar yang entah bila akan berakhir, sesuatu mesti dilakukan untuk menjana pendapatan.
Enggan mengalah dengan situasi, dua sahabat baik, Mohd. Aziuddin Alias, 35, dan Azrin Baharom, 35, mengambil inisiatif mengusahakan tanaman terung di Batu 2, Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis.
Mohd. Aziuddin berkata, pada peringkat awal, mereka menanam sebanyak 1,300 pokok.
“Selepas dua bulan mengusahakan tanaman tersebut ia kini memperoleh hasil malah mampu menjana pendapatan bulanan mencecah ribuan ringgit dengan hasil tuaian lebih dua tan sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Proses memetik dilakukan tiga kali seminggu. Sekali tuaian boleh mencecah sehingga 150 kilogram atau lebih.
MODAL RM10,000
Mengenai pembabitan awal dalam bidang pertanian, anak muda berasal dari Kangar ini memberitahu berbekalkan modal RM10,000 daripada simpanan sendiri, mereka mengambil langkah menyewa lot tanah seluas 0.5 hektar di Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis.
Bertitik tolak daripada itulah mereka seterusnya mengusahakan tanaman terung secara fertigasi Julai lalu.
Lulusan Diploma Pertanian dari Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), Melaka ini pernah berkhidmat di Pulau Pinang beberapa tahun sebelum diberhentikan kerja ekoran Covid-19.
Berkat kesabaran selain tidak mengenal erti putus asa, dia mampu menarik nafas lega apabila hasil tanaman mereka mampu membawa pulangan lumayan.
Bapa kepada seorang anak berusia lima tahun itu juga bercadang memperluaskan tanaman tersebut dalam tempoh terdekat selepas mendapat permintaan tinggi daripada pemborong serta para peniaga sekitar negeri ini.
“Alhamdulilah, berkat usaha selain tidak mengenal erti putus asa, kami mampu menjana pendapatan baharu selepas hilang sumber pendapatan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.
Mengakui pada peringkat awal berdepan kesukaran, namun hasil pertanian menggalakkan membakar semangat mereka untuk turus melipatgandakan usaha.
“Mungkin selepas ini, kami akan memperluaskan tanaman dengan pelbagai jenis sayuran lain seperti cili dan sebagainya. Apa yang pasti pertanian mampu memberi pulangan yang baik,” katanya.
Hasil tanaman tersebut dijual terus kepada para peraih serta peniaga sekitar negeri ini.
“Para peraih ada yang datang ambil di kebun dan kami juga menghantar hasil tanaman kepada para peniaga sekitar negeri ini,” katanya.

BERSEMANGAT
Hasil tanaman memberasangkan menyuntik semangat Azrin untuk serius dalam bidang pertanian.
Katanya walaupun menjaga tanaman tersebut tidaklah begitu mudah tetapi dia tekad demi mencari sesuap rezeki.
“Tanaman terung memerlukan ketelitian dan kerja keras.
“Bermula daripada proses penyediaan tapak, sistem pengairan dan pemilihan jenis terung sesuai dengan cuaca dan pasaran setempat,” katanya.
Proses semaian daripada biji benih, pemindahan ke tapak tanaman dan penjagaan sehingga pokok mengeluarkan hasil, sentiasa memerlukan pemantauan berterusan.
“Seterusnya hal-hal penjagaan pokok seperti cantasan tunas air, kawalan serangga perosak dan kulat jugak memerlukan komitmen berterusan dan berkala bagi menjamin hasil berkualiti,” katanya.
Anak muda berasal dari Kampung Sempering, Santan, Kangar ini memberitahu, antara cabaran dihadapi sepanjang mengusahakan penanaman terung ialah serangan serangga perosak dan faktor cuaca tidak menentu.
“Setiap hari kami akan ke kebun untuk melakukan tugasan yang perlu. Antaranya kerja pemangkasan pokok, kawalan rumput, menabur baja dan kawalan serangga perosak. Setiap proses ini memerlukan ketelitian bagi mendapatkan hasil berkualiti,” katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik ini memiliki ijazah sarjana muda dalam Bioteknologi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan sebelum ini bekerja dalam pelbagai sektor untuk menampung kehidupan.
Antaranya pembuatan kek dan kerja kayu sebelum usaha tersebut terbantut berikutan pelaksanaan PKP sebelum ini.
BERUSAHA
Bidang pertanian mampu menjana hasil lumayan namun perlu sentiasa berusaha dan jangan sesekali berputus asa.
“Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Selepas hilang kerja, kami bangkit mengusahakan tanaman terung dan mungkin akan diperluaskan lagi selepas ini,” kata Azrin.
Menyentuh mengenai aspek perlu dititik beratkan sebelum individu terjun ke dalam bidang pertanian, katanya, individu perlu terlebih dahulu mengikuti kursus dianjurkan pihak kerajaan ataupun swasta bertujuan meningkatkan pemahaman mengenai proses tanaman itu.
Azrin berkata, proses pembelajaran itu penting bagi menghasilkan tanaman berkualiti.
“Kami turut meneliti bahan bacaan dan video secara dalam talian mengenai proses tanaman terung ini. Rajin bertanya dan meminta nasihat daripada pekebun tanaman fertigasi lain yang lebih berpengalaman juga turut kami lakukan untuk mendapatkan ilmu,” kata Azrin.
Beliau turut berharap lebih ramai anak muda menceburi bidang pertanian kerana ia berpotensi menjana pendapatan, khususnya dalam tempoh sukar menghadapi pandemik Covid-19.










