MENYOROTI apa yang berlaku dalam kehidupan wanita besi ini, pasti ramai yang mengakui bukan sesuatu yang mudah untuk ditempuhi. Ujian demi ujian yang diterimanya membuktikan penyanyi ini mempunyai kekuatan yang cukup luar biasa.
Tetapi bukan semua yang dilaluinya sepanjang 47 tahun ini adalah duka semata. Pembuka bulan Februari lalu anak seni kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini menerima pengiktirafan melalui kerjaya seninya yang sudah berusia 20 tahun.
Mengakui senang dengan rezeki ini, ternyata anugerah pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) sempena Hari Wilayah Persekutuan yang membawa gelaran ‘Datuk’ bukan hak mutlak dirinya.
Kongsi Datuk Nora Ariffin memulakan langkah dalam bidang ini dengan dengan kerja keras suaminya, Allahyarham Johan Nawawi, ini adalah kejayaan cinta mereka.
“Ini adalah pengiktirafan dan hadiah buat saya dan arwah suami saya. Ini juga hasil sumbangan arwah sepanjang dalam dunia seni.
“Memulakan langkah dalam industri ini 20 tahun lalu dengan bimbingannya. Saya yakin tanpa dia, kerjaya seni saya juga tidak akan bermula. Sebab itu saya anggap ini adalah kejayaan kami bersama,” katanya yang kehilangan Allahyarham Johan pada Mac 2017 akibat serangan jantung.
Terharu dan bersyukur dengan pengurnian pingat ini oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat dirinya. Tambahnya, pada awalnya dia turut terkejut dengan pengiktirafan yang cukup istimewa itu.
“Saya memang tidak menjangka akan diberikan rezeki pada saat-saat ini. Memang sangat terkejut pada mulanya. Namun saya juga sangat bersyukur dengan pengurniaan ini.
“Menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan Baginda.
“Terima kasih juga kepada Kementerian Wilayah Persekutuan di atas pengiktirafan yang diberi,” ujarnya dalam nada yang cukup bersyukur.
Mengakui masih lagi cuba membiasakan diri dengan gelaran ‘Datuk’ yang diterima, jelas Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, walaupun akan mengambil masa, namun menjadi kewajipan untuk menghargainya.
“Saya akui masih lagi kekok bila ada yang memanggil dengan gelaran itu. Bila ada yang menegur dengan gelaran itu jujurnya masih belum biasa.Tetapi ini adalah rezeki yang cukup besar buat diri saya dan keluarga dan saya harus menghargainya.
“Bila dapat tahu mengenai penganugerahan ini, sebenarnya anak-anak yang paling seronok. Momen itu menjadi antara yang cukup indah buat saya sekeluarga bila melihat mereka melompat-lompat gembira,” katanya yang mula mendapat perhatian melalui lagu Di Persimpangan Dilema pada 1994.

SUMBANGAN NORA DIPERSOAL?
Tidak melihat perlu dia melayan provokasi sebahagian warganet yang kini mempersoalkan pengurniaan pingat tersebut.Tambah Nora jangan sekadar melihat gelaran yang diterimanya, memandangkan ada perjuangan yang lebih penting untuk diteruskan dirinya.
“Jujurnya saya tidak baca komen-komen negatif di laman sosial. Pengurniaan ini adalah sesuatu yang perlu saya hargai sebagai anak seni. Sekali gus memberi sebab untuk saya bekerja lebih keras pada masa hadapan.
“Lebih penting bagaimana anugerah ini juga akan menjadi inspirasi untuk terus berada dalam industri sebagai anak seni,” katanya.
Meminta semua pihak menghormati perkenan itu, jelasnya, dia juga yakin pemilihan setiap penerima anugerah juga dibuat melalui proses yang sangat teliti.
“Melalui beberapa proses, saya juga hanya diberitahu beberapa hari sebelum diumumkan
“Saya fikir pemilihan ini juga melalui proses-proses yang sangat teliti dan pasti setiap aspek juga diambil kira sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong,” jawabnya.
TIADA APA YANG BERBEZA
Bukan sekadar gelaran yang perlu diraikan, balas Nora ini adalah amanah dan tanggungjawab besar buat dirinya. Malah apa yang dimilikinya ini juga memberikan dia lebih bersemangat untuk membuktikan sesuatu yang berbeza dalam kariernya kelak.
“Pada saya, anugerah ini amanah dan tanggungjawab buat saya. Ia memberikan saya semangat untuk terus aktif dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat. Soal lain saya fikir tiada apa yang berubah.
“Saya masih lagi Nora yang sama yang akan terus berada dalam industri seni. Tiada apa yang berbeza memandangkan fokus saya adalah untuk memberikan yang terbaik buat peminat.
“Dalam tempoh sekarang juga saya sedang merancang untuk muncul dengan lagu baharu, namun dengan keadaan negara berhadapan dengan kesan penularan Covid-19 jadi saya tangguhkan dahulu,” janjinya.
Sementara itu, berkongsi perasaan gembiranya untuk mengetahui dua lagi penggiat seni lain turut dikurniakan gelaran Datuk, katanya, sebagai rakan seni dia turut melihat ada kelayakan penerbit dan penulis lirik tersohor, Datuk Habsah Hassan dan pengarah, komposer, penyanyi dan pelakon, Datuk Yusry Abdul Halim untuk menerimanya.
“Kedua-duanya juga sangat layak untuk menerima pengurniaan ini. Bagi saya dengan jasa yang mereka berikan dalam industri, ini adalah penghargaan terbaik,” katanya.










