KUALA LUMPUR: Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus baru-baru ini bukanlah bersifat kejam sebaliknya bertujuan mengawal inflasi daripada terus melonjak tinggi.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, sekiranya OPR tidak dinaikkan ia dibimbangi menyebabkan inflasi berada di luar kawalan dan sekaligus menjejaskan kuasa beli pengguna.
“Mana lagi kejam kalau kita punya inflasi berada di luar kawalan? Kalau kadar inflasi kita naik mendadak, semua kuasa membeli setiap orang akan terkesan tanpa mengira anda mempunyai pinjaman atau tidak.
“Nilai mata wang seringgit akan susut, jadi, kita perlu naikkan OPR kerana kita mahu memastikan ekonomi berkembang secara mampan dan bukan saja untuk hari ini, tapi untuk bulan dan tahun mendatang,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2023, semalam.
Mengulas lanjut, Nor Shamsiah berkata, kadar faedah rendah yang berpanjangan serta tidak sejajar dengan kesihatan ekonomi dikhuatiri mendatangkan kesan buruk seperti perbelanjaan dan pembiayaan berlebihan.
Beliau berkata, bank pusat mahu pertumbuhan ekonomi berada pada trajektori yang mampan dan disebabkan itu BNM memberi tumpuan dalam memastikan kesan jangka panjang keputusan kadar dasarnya.
“Kami tidak mahu mempunyai situasi, di mana kami hanya melihat pada angka pertumbuhan hari ini sedangkan ia tidak mampan dan akan menyebabkan kita berada dalam inflasi yang tinggi dan juga kemelesetan.
“Bukan itu tujuan BNM berada di sini kerana mandat kami adalah untuk mempromosikan kestabilan harga, dasar monetari yang stabil yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
BNM sebelum ini mengejutkan rakyat apabila mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.0 peratus selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 3 Mei lalu sehingga ada yang mendakwa tindakan berkenaan dilihat kejam.
Untuk rekod, BNM mula menaikkan OPR pada Mei, Julai, September dan November tahun lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
Bagaimanapun BNM mengambil langkah mengekalkan OPR kepada 2.75 peratus pada mesyuarat MPC Januari dan Mac 2023 selepas empat kenaikkan berturut-turut tahun lalu sebelum sekali lagi menaikkannya baru-baru ini. – UTUSAN










