SEJAK mutakhir ini, Barisan Nasional (BN) terutama UMNO banyak melakukan reformasi parti. UMNO dilihat oleh penganalisis politik sebagai semakin kurang memberi perhatian kepada isu abata (agama, bangsa dan tanah air). Idea perubahan ini boleh dilihat dari segi asas nilai berteraskan dasar yang digunakan oleh kepimpinan UMNO.
Ini adalah pendekatan alternatif dalam kerajaan perpaduan untuk menggalakkan keterangkuman dan memupuk landskap politik lebih pelbagai dan saksama. Matlamat UMNO masih sama, cuma memperjuangkan ketuanan dasar bertujuan melangkaui garis etnik dan agama serta memberi tumpuan kepada isu, dasar dan prinsip yang memberi manfaat kepada semua rakyat terutama bumiputera.
Ramai bertanya, ke manakah pergi suara UMNO, suara keramat orang Melayu dan bumiputera? Adakah UMNO kini cuba mengelak perbahasan polemik kaum dan agama setelah menyertai kerajaan perpaduan?
Ramai ingin UMNO bersuara dalam polemik dasar terutama hala tuju sosioekonomi negara. Ini kerana UMNO yang sebahagian daripada kerajaan perpaduan hari ini perlu bangkit untuk mempertahankan dasar hala tuju ekonomi yang memberikan manfaat kepada rakyat terutama bumiputera. Sebahagian kehidupan mereka sangat terjejas dengan situasi ekonomi hari ini. Dasar hala tuju ekonomi negara hari ini masih samar walaupun di atas kertas. Pelan Induk Perindustrian
Negara dan strategi reformasi dalam Model Ekonomi Baharu masih kurang menampakkan hasilnya setelah kejatuhan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Polemik ekonomi sedang dihadapi oleh rakyat yang sebahagiannya masih bergelut dengan krisis kos sara hidup semakin meningkat dengan bebanan gaji semakin mengecil nilainya. Konsep Malaysia Madani yang mampu menggantikan Dasar Kemakmuran Wawasan Bersama perlu ada satu konsep panduan pelaksanaan menyeluruh yang memberikan faedah kepada semua lapisan masyarakat.
Rakyat berharap polemik dasar-dasar kerajaan yang selalunya menekankan kepada tatakelola tetapi sehingga akhirnya hanya cantik di atas kertas dan selepas itu entah ke mana hasilnya tiada lagi. Ini isu utama perlu diberikan perhatian dan tindakan terutama UMNO. Ini kerana sebahagian besar orang Melayu sedang berada dalam krisis polemik ekonomi dan dasar yang lebih melihat kepada soal tatakelola dan bukannya mengabaikan dalam manfaat sebuah kerajaan kepada rakyat untuk rakyat.
PRN
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat pengiktirafan yang semakin meningkat tentang keperluan untuk parti politik mengutamakan agenda dipacu dasar. Beberapa parti politik muncul dengan platform yang berpusat pada bidang dasar tertentu seperti pembaharuan ekonomi, keadilan sosial, kelestarian alam sekitar atau tadbir urus baik. Parti-parti ini berusaha untuk menarik ahli dan penyokong berdasarkan objektif dasar bersama tanpa mengira latar belakang etnik atau agama. Tetapi ketuanan dasar yang menjadi teras ideologi parti masih kurang kukuh dalam gabungan komponen parti politik di Malaysia.
Parti yang memfokuskan kepada ideologi berasaskan dasar mampu menangani kebimbangan dan aspirasi rakyat dari pelbagai kumpulan etnik dan latar belakang agama. Mereka menggalakkan masyarakat yang lebih inklusif dan bersatu padu dengan menekankan prinsip seperti kesaksamaan, keadilan dan meritokrasi tanpa menjejaskan hak dan kedudukan bumiputera dalam kontrak sosial.
Seterusnya, parti didorong oleh dasar boleh membantu merapatkan jurang antara komuniti berbeza dan mengurangkan polarisasi yang sering dikaitkan dengan politik etnik dan agama. Ini menyediakan ruang kepada rakyat untuk bersatu mengikut matlamat bersama dan bekerjasama berdasarkan kepentingan dasar bersama dan bukannya berpecah mengikut garis etnik atau agama.
Bagaimanapun, penting untuk diambil perhatian bahawa kewujudan dan kejayaan parti yang didorong oleh dasar mungkin bergantung kepada beberapa faktor termasuk iklim politik semasa, tahap kesedaran dan penerimaan orang ramai dan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung nanti. Penguasaan parti berasaskan etnik dan konteks sejarah politik identiti menimbulkan cabaran kepada penubuhan dan pertumbuhan parti yang didorong oleh dasar. Ini disebabkan retorik dan polemik kaum dan agama sering kali menjadi cabaran kepada integrasi perpaduan dan berakhir dengan krisis dan konflik.
Namun begitu, kemunculan parti berasaskan dasar mencerminkan keinginan semakin meningkat dalam kalangan sebilangan rakyat untuk landskap politik lebih inklusif dan berorientasikan isu. Ini disebabkan kesedaran politik terutama golongan kelas menengah semakin meningkat. Kejayaan dan kaitan parti-parti berasaskan dasar bergantung pada keupayaan untuk menyampaikannya dengan berkesan, melibatkan diri dengan masyarakat pelbagai dan membina sokongan meluas merentas sempadan etnik dan agama.
Mereformasi parti seperti UMNO memerlukan pendekatan dan penglibatan menyeluruh daripada ahli, pemimpin dan pihak berkepentingan. UMNO perlu melihat pada masa kini lebih 70 peratus rakyat adalah bumiputera dan majoriti mereka tinggal di bandar. Malahan golongan kelas menengah ke atas dan berpendidikan bumiputera semakin membesar sehingga mencapai 75 peratus. Situasi ini menunjukkan parti berasaskan kaum dan agama semakin kurang sesuai dengan kewujudan beberapa permasalahan dasar.
Terlalu banyak tatakelola perlu dilaksanakan dalam setiap dasar kerajaan tetapi setelah lebih enam dekad dengan hasilnya bukan semua majoriti bumiputera mahupun rakyat menikmatinya. Hanya segolongan elit yang terlibat dengan dasar tersebut mempunyai kelebihan berbanding majoriti rakyat. Ini menyebabkan hala tuju pembangunan industri dan ekonomi sejak PRU14 tidak menampakkan ke mana negara ini dipacu kerana banyak persoalan muncul dalam benak hati rakyat daripada jawapan ditemui. – UTUSAN
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











