WALAUPUN sudah beberapa minggu umat Islam menyambut kedatangan bulan Syawal yang penuh barakah, suasana kemeriahan Hari Raya Aidilfitri masih terasa hingga kini. Pada tahun ini, ramai rakyat Malaysia yang tinggal di perantauan mengambil cuti untuk pulang ke kampung. Kesempatan ini digunakan untuk meraikan hari lebaran bersama keluarga dan sanak saudara.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja diraikan oleh masyarakat Islam semata-mata, tetapi juga disambut oleh kaum-kaum lain. Walaupun berbeza pegangan agama dan kepercayaan, perayaan Hari Raya Aidilfitri disambut dengan menziarahi sahabat handai yang mengadakan rumah terbuka. Malahan, peluang ini digunakan untuk pulang ke kampung asal bagi bertemu dengan keluarga ataupun menghabiskan masa bercuti di dalam dan luar negara.
Pada tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengejutkan negara dengan mengumumkan cuti tambahan bagi Hari Raya Aidilfitri. Pengumuman Perdana Menteri tersebut disambut baik oleh rakyat. Rakyat bersyukur kerana dapat meluangkan lebih masa lagi sebelum pulang semula ke kehidupan seharian mereka.
Sementelah itu, sudah menjadi satu kebiasaan di negara ini, setiap kali musim perayaan tiba, pasti kadar kemalangan jalan raya mencanak tinggi. Berdasarkan laporan dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pada hari raya pertama tahun ini, sebanyak 1,147 kes kemalangan jalan raya direkodkan. Pada Tahun Baharu Cina lalu, sejumlah 1,724 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara. Jumlah kematian direkodkan menunjukkan peningkatan sebanyak 13 peratus, dengan 134 kes sepanjang Op Selamat yang dilancarkan sempena Tahun Baharu Cina.
Amat menyedihkan apabila membaca berita-berita kemalangan yang terpampang di dada akhbar. Pada saat kita sedang menyambut kemeriahan perayaan, ada segelintir yang menderita dalam kesedihan akibat kemalangan yang menimpa keluarga, sanak saudara atau rakan. Lebih menyayat hati apabila adanya kehilangan nyawa orang tersayang dalam insiden tersebut.
Walaupun kerajaan sering mengingatkan tentang keselamatan di jalan raya sewaktu musim perayaan, malangnya keadaan ini terus berlaku, malah semakin melarat. Antara punca utama yang melonjakkan kadar kemalangan di jalan raya adalah sikap pemandu itu sendiri. Terlalu teruja untuk sampai ke destinasi dengan cepat menyebabkan pemandu leka dan memandu melebihi had kelajuan. Bahkan ada yang menggunakan lorong kecemasan tanpa segan silu, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali memberikan amaran.
TELEFON BIMBIT
Menurut laporan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), satu lagi punca yang semakin ketara ialah penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Ramai pemandu menggunakan telefon bimbit untuk menjawab panggilan, melihat mesej-mesej di WhatsApp, Facebook, Instagram dan menonton Youtube sambil memandu. Pemandu hilang fokus terhadap pemanduan di jalan raya sehingga membahayakan diri sendiri dan juga orang lain.
Dalam pada itu, kita perlu mengingatkan diri agar membuat persediaan awal sebelum bertolak ke destinasi dituju. Acap kali kita lalai dalam soal ini, terutama dalam memastikan sama ada kenderaan kita berada dalam keadaan yang cukup baik untuk mengharungi perjalanan jauh. Setiap bahagian kereta perlu diberikan pemeriksaan teliti agar tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini semasa memandu. Jangan kita seperti sudah kalah baru berkubu.
Ini kerana berdasarkan satu kajian dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, sebanyak 37 peratus pelanggaran yang berlaku adalah disebabkan oleh isu tayar kereta. Bahkan dalam laporan sama, dinyatakan tayar menjadi antara punca utama yang mengakibatkan pelanggaran lebih daripada tiga kenderaan dalam satu-satu insiden.
KURSUS WAJIB
Pihak berkuasa melaksanakan pelbagai usaha untuk menangani isu kemalangan jalan raya, khususnya ketika perayaan. Namun, keadaan ini masih berterusan tanpa ada penghujungnya.
Pada Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengaitkan pertambahan kes kemalangan jalan raya ini disebabkan tahap literasi komuniti jalan raya yang tidak memuaskan. Dan apa yang dinyatakan oleh beliau amatlah tepat. Hakikatnya, bakal pemandu diberikan kursus wajib tentang keselamatan di jalan raya, namun mereka seolah-olah melupakannya selepas menggenggam lesen memandu.
Sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu inilah yang terus menjadi duri dalam daging sehinggakan Malaysia dilihat antara negara paling berisiko apabila berada di atas jalan raya. Pada 2016, Malaysia direkodkan sebagai negara mempunyai indeks kematian akibat kemalangan jalan raya yang tertinggi di dunia.
Pendek kata, kealpaan kita untuk menjadi pemandu yang bijak dan berhemah mengundang lebih banyak risiko kemalangan. Bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi tindakan kita juga memberi padah kepada orang lain. Cegah sebelum parah perlu diperingatkan kepada diri kita setiap kali menghidupkan enjin kenderaan. – UTUSAN
DR. M. Jayakumary ialah Pensyarah Akademik di Jabatan Sains Sosial, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Darulaman, Jitra, Kedah.










